Malam ini, tanggal 28 Ogos 2010 adalah tarikh bersejarah buat saya sebagai seorang staf di Akademi Penulis Sdn Bhd (APSB). Majlis berbuka puasa dan solat tarawikh di syarikat Fauzul Na’im Sdn Bhd sempena pembukaan Bilik Training.com, pemergian saya dan kehadiran pengganti saya, saudara Halim.
Pengalaman saya bersama APSB masih lagi muda, baru 1 tahun setengah. Tetapi apa yang saya peroleh sudah menjangkau usia 3 tahun. Sekarang saya sudah pun bersara, pencen awal :-). Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Fauzul Na’im selaku majikan saya, tetapi sudah saya anggap abang sendiri. Beliau sendiri banyak membina karakter saya sebagai seorang ‘businessman’. Tidak lupa kepada Puan Nurulhilyati, isteri beliau yang juga sudah saya anggap sebagai kakak saya sendiri. Beliau banyak memberikan kemudahan dan keceriaan walaupun kadang-kadang sekadar senyuman. Begitu juga pada keluarga beliau, mak ayahnya, adiknya, anak-anaknya dan bibinya yang sudah saya anggap keluarga sendiri. Saya rasa sungguh bermakna. Saya boleh katakan pertemuan antara kami adalah tuah dari Allah. Saling mendapat manfaat.
APSB boleh saya anggapkan sebagai medan pembelajaran buat diri. Selama berada di APSB, saya lakukan seadanya saya di sana, walaupun ada keseluruhan kerja saya lakukan bersendirian. Apa yang disuruh saya buat, apa yang tidak disuruh pun juga saya buat. Tidak pernah membantah, apatah lagi nak mengeluh. Semuanya tidak pernah saya simpan dalam hati. Apa yang saya tahu, ini adalah proses pembelajaran. Jika kita anggap ia sekadar pekerjaan, kita tidak akan ke mana-mana. Tetapi, bila kita anggap ia perkara yang perlu dipelajari, maka sebenarnya ia menjadikan kita lebih maju dan berjaya. APSB adalah gelanggang percubaan buat saya, membina diri, membina kredibiliti dan mencari pengaruh.
Saya suka mendapatkan manfaat dari apa yang saya kerjakan. Saya tidak memilih untuk berada dalam kesenangan, tetapi memilih susah terlebih dahulu. Hanya susah sahaja mendidik kita jadi lebih berjaya. Kita tidak akan berjaya kalau tidak pernah merasa susah. Di APSB, bukan kesenangan yang saya mulakan, tetapi jerih dan payah. Sabar itu menjadi tunjang diri. Bekerja sepenuh masa, sepenuh hati, sepenuh jiwa. Ramai orang kecundang di tengah jalan, mengeluh tidak tentu fasal padahal tidaklah sesusah dari orang miskin melarat. Cuba lihat gambar di atas. Lihat betapa berlikunya jalan itu. Itulah pengalaman saya berada di APSB. Saya yakin, liku-liku itu akan diakhiri dengan cahaya kemudahan dan kesenangan. Percayalah, pengalaman berharga tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Take advantage”, saya suka dengan perkataan ini. Saya berada di APSB bukan sekadar tahu APSB sahaja, sebenarnya saya tahu banyak perkara di FNSB. Bukan maksudnya saya memperalatkan FNSB, tetapi saya cungkil dan korek sehabis mungkin kelebihan FNSB untuk saya manfaatkan. Itulah, alang-alang seluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau sudah berada di suatu tempat jangan sekali-kali pulang dengan tangan kosong. Peluang jangan sesekali dilepaskan. Berada di APSB seperti menimba emas dan permata. Semestinya tidak saya perolehi kalau berada di luar.
Perletakan jawatan saya di APSB, bukan suatu tanda pengakhiran. Permulaan kepada tugasan yang lebih mencabar. Sengaja mencabar diri untuk menjadi lebih berjaya dalam berbisnes. Kita tidak boleh menunggu, melihat atau tinjau-tinjau sahaja. Sekarang adalah waktu bertindak, dari minda positif bertukar kepada tindakan positif dan insyaAllah bakal menjadi hasil yang positif jua. Hari ini lebih baik dari semalam, dan esok lebih baik dari hari ini. Saya tidak suka berlegar-legar pada satu tahap, apa yang saya suka adalah untuk pergi lebih jauh ke hadapan.
Walaupun tidak bergelar staf APSB, silaturrahim tetap diteruskan. Hubungan dengan orang yang kita pernah kenali jangan sekali-kali dilupakan. Rangkaian sesama manusia tetap seperti biasa, tidak ada apa pun yang berubah. Mungkin lebih erat dari dahulu. Tetapi bukan yang terakhir…
Terkini Pro Inside
:: Borak-borak ::
:: Artikel Terbaru ::
Followers
- Abdul Qahhar ibn Mohd Noor
- :: Insan kerdil yang sentiasa mengharap redha Tuhannya ::
:: Pengumuman ::
:: Diriku ::
:: HPA ::
:: Waktu Solat ::
:: Tautan Sahabat ::
:: Tautan Berita ::
:: Tautan Rujukan ::
:: Tautan Portal ::
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..
Assalamualaikum dan salam berbahagia hendaknya. Dengan perasaan terharu dan semangat yang berkobar-kobar tahun 2010. Pro Inside sedang menuju ke tahap kemuncaknya pada tahun ini. Saya dengan rasa berbesar hati mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi, dengan cabaran 24 jam, menyiapkan laman web Pro Inside menjadi seperti sekarang. Sila berkunjung ke laman web Pro Inside di http://proinside.blogspot.com.
Pengalaman pantas bertindak menyiapkan laman web ini sangat menerujakan. Bangun seawal mungkin dan tidur selewat mungkin adalah cabaran yang sangat-sangat menekan diri. Tetapi ia mengajar diri supaya sentiasa bersabar hingga akhirnya berjaya. Syukur, alhamdulillah. Setelah pelancaran laman web ini, kemudian akan menyusul pula beberapa medium promosi lain seterusnya. Nantikan kehangatan nama Pro Inside di persada tanah air, membawa satu gagasan "mengkreatifkan manusia dalam arena grafik". InsyaAllah laman web ini yang asalnya adalah blog akan bertukar menjadi www.proinside.com tdak lama lagi, insyaAllah. Sama-sama kita doakan.
Sekian..
Kasihan sungguh saya melihat agen-agen yang ditugaskan oleh Badan Kebajikan Anak Yatim. Mereka ini pemalu, tetapi diajar supaya jadi muka tembok. Menghilangkan semua sikap malu dan segan sejauh-jauhnya, tanpa memikirkan apapun orang akan kata. Baik perempuan mahupun lelaki, bahkan usianya masih begitu muda saya lihat. Sebenarnya mereka ini mempunyai potensi besar jika diberi bimbingan yang bagus. Apa boleh buat, mungkin inilah sahaja jalan yang mereka nampak dalam dunia pekerjaan. Dalam dunia perniagaan sebenarnya peluang itu terlalu besar, Cuma bagaimana sahaja kita memanfaatkannya seoptimum mungkin.
Sebenarnya saya ada idea tentang mereka ini. Saya tidaklah sehebat mereka untuk bersikap muka tembok dengan semua pelanggan. Mereka amat hebat sebenarnya dari saya yang pernah memegang jawatan Eksekutif Pemasaran. Jadi, saya ada rancangan untuk mereka. Rancangan saya adalah, saya mahu jadikan mereka agen saya. Menarik bukan? Saya seolah-olah mencuri agen orang untuk kepentingan diri. Ohh, tidak. Saya bukanlah sebegitu sebenarnya. Apa yang saya mahu adalah melatih mereka agar tidak meminta-minta, lagi-lagi pada orang yang tidak sudi. Saya cukup benci meminta-minta, apatah lagi tengok orang yang sebegitu. Mungkin mereka terpaksa atau dipaksa. Tetapi isunya sekarang sikap meminta-minta bukan seorang mukmin yang sejati. Usaha mereka hanya di mulut untuk meminta-minta. Lepas habis apa yang diminta, mereka minta lagi dan minta lagi.
Saya mahu bagi gambaran, adakah sehingga tua pun mereka hendak meminta? Pastinya tidak bukan. Kalau tidak pun, mereka akan merekrut anak-anak mereka atau anak-anak saudara mereka atau anak yatim sendiri untuk meminta-minta. Katakan generasi ke 10 sekalipun, adakah hidup dengan meminta-minta? Sama sekali tidak bukan. Isu ini nampak remeh, tetapi kesannya sungguh besar. Saya tidak mahu melihat generasi bawah saya hidup dalam meminta-minta. Cukuplah apa yang ada kini, tak perlu disambung atau diteruskan lagi. Tidak sanggup saya melihatnya, sedih dan sebak bila melihat gelagat orang yang meminta sebegini. Biarlah kita hanya meminta-minta pada Allah sahaja.
Ok, baik. Tidak perlulah saya sambung tentang kesedihan ini, boleh meleleh air mata dibuatnya. Yang penting sekarang, saya mahu mengubahnya. Mula saat saya mengembangkan bisnes sendiri, saya mahu merancang untuk merekrut mereka ini menjadi agen pemasaran saya. Dengan usia mereka yang muda, sanggup berhadapan pelbagai manusia dan sangat kental berada berjam-jam di luar pintu bank untuk meminta derma, saya fikir mereka sangat layak mempromosikan perkhimatan saya. Bagi saya kita tidak perlu meminta derma atau sumbangan, kita berikan khidmat dan pelanggan gunakan apa yang kita berikan dengan berbayar. Itu lebih baik sebenarnya. Berbisnes itukan lebih bagus, disamping kita memberi, kita juga menerima. Dalam perniagaan ini, ada timbal baliknya. Saling perlu memerlukan. Saling beri dan menerima. Tidaklah hanya satu pihak menerima semata-mata, itu tidak adil namanya.
Orang ramai lebih hormat pada orang melaksanakan perniagaan dari orang yang meminta sumbangan walaupun demi kebajikan. Kenapa tidak sahaja kita buat bisnes kemudian, dengan hasil duit untung boleh juga digunakan untuk sumbangan. Itu lebih cantik sebenarnya, kerana ia mengajar kita ‘survive’ dan berpandangan kehadapan. Katakan dari bisnes itu kita untung besar, kita boleh buka syarikat sendiri dan boleh menggaji lebih ramai orang yang tidak berkemampuan. 1 sistem yang sistematik terbina secara tidak langsung melalui bisnes. Selain memberi pulangan pada diri, ia membawa manfaat pula pada orang disekeliling. Jadi, berbisneslah, tinggalkan sikap meminta-minta.
Memang membina syarikat itu memakan masa, tetapi ia adalah keuntungan jangka panjang. Manfaatnya boleh diwarisi ke generasi akan datang. Tetapi kalau dengan meminta, kita tidak akan ke mana-mana jika orang tidak mahu memberi pada suatu hari nanti. Bagi suatu bisnes, ia adalah sebaliknya. Dari 1 peringkat, naik ke suatu peringkat lebih tinggi. Baik, saya ingin bertanya, kenapa kita ingin berbisnes? Sudah pasti memberi khidmat kepada orang yang mahu. Jadi maksudnya, sudah pasti ada orang mahukan khidmat kita. Jadi janganlah risau jika tiada pelanggan, sebenarnya kita tiada kekuatan mempromosikan produk, padahal orang berkehendakan terlalu ramai.
Baik, seterusnya apakah bisnes yang dimahukan orang ramai. Sungguh banyak sebenarnya, akan saya ceritakan di ‘post’ akan datang. Di ‘post’ kali ini, saya mahu menyatakan saya ingin mendapatkan egen pemasaran syarikat saya, sekarang saya sudah jumpa sasarannya. Tunggulah masa yang sesuai, mereka ini akan saya tarik ke syarikat saya menjadi orang yang berkebolehan. InsyaAllah.
Bisnes sememang mempunyai ramai pesaingnya. Saya menerima 1 lagi projek sekitar bernilai 1k juga. Projek kali ini juga benar-benar menekan saya. Atas dasar percaya, saya menyiapkan dua bahan yang dimahukan pelanggan sebelum menyerahkan sebut harga. Manalah saya tahu, pelanggan juga mempunyai sebut harga dari syarikat lain yang agak rendah. Tidak boleh tidak, saya terpaksa juga merendahkan sebut harga saya kali ini. Saya terfikir, sampai bilakah bisnes orang Melayu ini akan maju jika sentiasa dibanding-bandingkan dengan harga. Apa yang kita berikan adalah perkhidmatan yang berkualiti. Jika sebut tentang kualiti, maka bayarannya mestilah setimpal dengan apa yang diberikan. Mahu dikurangkan harga itu boleh, tetapi jika melampau sehingga mebanding-bandingkan harga syarikat lain, itu bukan kerja orang professional. Patutlah ramai ‘businessman’ Melayu selalu gulung tikar bila mula membuat perniagaan. Kes sebeginilah yang merosakkan peniaga lain.
Saya mahu bandingkan dengan perniaagaan orang Cina, mereka ini kalau sudah kata tidak, mereka akan kata tidak. Biarlah kita merayu minta kurang. Bagi saya, itu adalah tindakan bagus. Kalau difikirkan semula, mereka ada staf untuk dibayar, ada kos pejabat perlu disewa, ada kos bil air dan elektrik dan bermacam lagi. Semua itu perlu ditanggung. Biarlah pelanggan itu pelanggan tetap sekalipun, tanggungan peniaga tetap sama. Apa yang saya lihat, kebanyakan yang minta dikurangkan harga ini adalah orang Melayu, orang yang banyak songeh. Sebenarnya dikalangan kita ini tidak ramai yang berbisnes dan tidak faham situasi orang bisnes. Oleh itu mereka boleh ‘demand’ sesuka hati. Bagi saya, pelanggan sebegini tidak perlu ada pun tidak mengapa. Itu lebih bagus.
Katakanlah projek sekitar RM1k seminggu, tapi kos RM800 dan untung hanya RM200. Berapa sangatlah untuk dapat dalam tempoh sebulan? Hanya RM800, adakah ini hendak dibayar untuk kos pejabat, staf dan lain-lain. Sama sekali tidak. Untuk diri sendiri pun belum tentu lepas. Bagi syarikat saya, kami mementingkan kualiti dan kecepatan. Jika pelanggan tidak membayar dengan nilai yang setimpal, lebih baik cari syarikat lain. Syarikat lain pula menagih projek dengan pelanggan sebegini, maka hasilnya pasti lingkup. Pasti pelanggan ini tidak puas hati dengan kualitinya, selepas itu janganlah mengomel depan kami, ngomel sahaja depan orang yang tidak dipuas hatinya.
Lebih saya terkilan adalah syarikat-syarikat kecil sebegini seolah-olah mencabul kehormatan syarikat lain. Mereka sanggup meletakkan harga yang rendah pada sesuatu perkhidmatan yang diberikan. Perniagaan adalah suatu khidmat professional, bukan khidmat jalanan di kaki lima. Adakah mereka hendak hidup 10 tahun lagi di jalanan sahaja? Pastinya tidak, oleh itu biarlah kita bersaing atas nama kualiti bukan nilai harga yang rendah. Saya sangat tidak berpuas hati dengan peniaga yang menangguk air keruh sebegini, mereka seolah-olah pengkhianat bagi syarikat-syarikat kecil lain yang baru membina nama. Kalau awal-awal lagi sudah dicantas sebegini, sudah pasti ramai yang lingkup gulung tikar. Biarlah pertarungan bisnes ini diadili dengan sebaik-baiknya, medan tempur seadil-adilnya. Bukan saya sahaja, tapi lebih ramai lagi peniaga lain mengharapkannya.
Baru – baru ini saya menerima projek bisnes. Kecil-kecilan sahaja, lebih kurang 1k. Menguruskan sendiri dari A – Z. Dan ini salah satu pengalaman baru saya. Mana tidaknya, saya terima 3 hari sebelum program berlangsung dan perlu menyiapkannya dalam tempoh itu juga. Satu cabaran yang sangat mencabar. Ditambah pula desakan bertalu-talu pelanggan, saya terpaksa menyiapkannya dalam waktu pejabat. Terganggu sedikit waktu kerja. Sebenarnya pelanggan sudah pun menerima sebut harga dari syarikat-syarikat lain. Tetapi atas dasar mencuba nasib, saya meletakkan harga paling rendah. Maka sebut harga saya menjadi pilihan. Dengan keadaan saya kurang berurusan dengan pembekal (pencetak), membuatkan saya tidak tahu kos pencetak. Terpaksa jugalah saya membuat sebut harga mengikut andaian sendiri dalam keadaan tergesa-gesa lalu diserahkan pada pelanggan. Hari itu juga saya buatkan ‘digital pruf’ untuk ditunjukkan pada pelanggan, pelanggan terima dan saya pulang untuk mendapatkan sebut harga dari pencetak disamping menyiapkan invois.
Hari esoknya sedang sibuk membuat kerja pejabat. Saya terfikir, hanya sehari lagi untuk diserahkan kepada pelanggan. Sepatutnya projek tersebut patut dicetak hari ini dan diserahkan selewat-lewatnya esok. Petang itu juga saya ‘call’ pencetak untuk mendapatkan sebut harga, manalah tahu kos diberikan tinggi dari harga yang saya letakkan. Diminta kurang pula tak dapat-dapat. Untuk cetakan pula tempoh minimanya 3 hari. Saya jadi tergamam, sebabnya 3 hari mana sempat dan saya terpaksa tanggung kos pelanggan. Bermakna saya akan rugi.
Saya terpaksa mencari pencetak lain disamping mencari kaedah mengurangkan kos dan masa. Petang itu saya jadi ‘blur’ memikirkan pencetak manakah yang paling sesuai. Lepas 1 pencetak, pencetak lain pula saya hubungi. Puas difikirkan cara, hari itu juga saya dapat idea kurangkan kos dan terus membuat keputusan mendapatkan perkhidmatan dari pencetak yang hampir dengan rumah saya. Mujur juga pelanggan meminta khidmat saya yang tidak memerlukan material, malam itu juga saya siapkan sebelum diserahkan pada pencetak. Maka bila ditimbal balik dengan kos pencetak, bolehlah saya untung dengan nilai yang sedikit. Bolehlah, tapi belum memadai dengan lelah saya selama 3 hari itu.
Hari terakhir hanya menunggu bahan siap dari pencetak sambil menyiapkan resit pelanggan. Lega kerana dapat selesaikannya dalam tempoh singkat. Begitu teruja kerana saya berjaya menyerahkan pada pelanggan tepat pada masanya. Inilah dia bekerja selaku ‘businessman’ kecil-kecilan.
Hari-hari saya dipenuhi dengan kerja yang bertimbun-timbun. Siang hari bekerja selaku pekerja, tiba malam bekerja pula seperti pemilik syarikat. Sudah satu perkara, datang lagi satu perkara. Kerja yang tidak habis dimamah masa. Walaupun masa sentiasa mendatang, kerja-kerja juga sekali berdampingan. Kerja dan masa, memang tidak boleh dipisahkan. Saya hampir – hampir sahaja jadi putus asa, ‘frust’, ‘tension’ dan sewaktu dengannya. Ahhhh, serabut dengan banyak hal yang tidak sudah-sudah. Mahu sahaja diluahkan satu persatu, tapi tak payahlah. Bukan boleh menyelesaikan masalah pun.
Kali ini saya dapat satu idea. Saya fikir ia sangat bernas untuk diamalkan. Disamping boleh hilangkan ‘tension’ yang tak berkesudahan ini, boleh juga menyelesaikan banyak perkara. Saya tekad buat satu perkara, “bersungguh-sungguh bila buat sesuatu”. Apa maksud disebalik ungkapan itu? Mari saya terangkan. Sebenarnya banyak perkara boleh kita lakukan dengan 24 jam sehari. Percayalah. Kita sebenarnya disibukkan dengan perkara yang kita sendiri pun tidak mahu. Tetapi kita perlu lakukannya juga kerana ia adalah tugas dan tanggungjawab. Kalau dilepaskan begitu sahaja, sudah pasti kita tidak amanah.
Apa yang saya buat sekarang adalah dengan membuat semua perkara seperti biasa, dengan syarat bersungguh-sungguh. Sebenarnya buat apa yang sudah kita jadualkan. Bermula dengan bangun dari tidur, mulakan dengan bacaan doa lepas tidur. Amalkan doa bagi setiap apa yang yang kita kerjakan. Bagi setiap waktu solat peruntukkan sebaik-baiknya dengan solat, berselawat, berzikir dan membaca al-Quran. Jangan difikirkan perkara lain, fikirkan sahaja diri sendiri dan Allah. Sudah pasti kita boleh khusyuk sekhusuknya dan datang dzuk yang meguatkan jiwa. Pergi kerja pula, siapkan kerja sehabis dan sebaik mungkin. Jangan difikir-fikirkan hal-hal rumah. Tentu kerja kita akan siap tepat pada waktunya. Pulang sahaja dari rumah, katakan ada aktiviti riadah, habiskan masa dengan beriadah sepuas hati. InsyaAllah kita akan dapat lagi 1 kebaikan iaitu kesihatan.
Banyak lagi perkara yang boleh kita lakukan hatta seperti makan dan tidur pun. Yang pasti bukanlah tidur dan makan sepuas-puasnya. Tetapi untuk makan, kita makan makanan yang paling berkhasiat dan berpatutan. Berpatutan itu penting, kalau tidak, lambat pula untuk tecapai impian sebagai CEO berjaya. (“,). Untuk tidur pula, cuba dapatkan tidur yang paling nyenyak. Bukan maksud saya tidur 24 jam sehari, tetapi tidur dalam suasana yang kondusif, selesa untuk berbaring, mudah juga untuk bangun semula. Pasti tidur yang setakat 4-5 jam sehari itu sangat berbaloi-baloi.
Lagi 1 perkara, kita ini sebenarnya disibukkan dengan aktiviti diluar kawalan sendiri. Contohnya bekerja dengan orang. Kasar sedikit bahasanya adalah kerja makan gaji. Minta maaf bagi orang yang makan gaji, saya pun makan gaji. Tetapi sekarang saya sedang berusaha untuk mendapatkan pendapatan sendiri. Syarikat sendiri sudah ada, cuma pendapatan bulanan belum stabil. Jika sudah agak selesa, saya sendiri akan mengucapkan ‘bye bye’ pada kerja makan gaji. Oleh sebab sibuk dengan aktiviti diluar kawalan ini, inilah punca kenapa saya semakin serabut. Jadi 1 penyelesaian telah saya buat. Saya mahu buat kerja ‘rutin harian’. Maksudnya adalah baut perkara yang biasa kita buat seharian setiap hari, perkara inilah sebenarnya menghidupkan kita. Fitrah manusia itu sukakan perkara yang menjadi kelaziman. Untuk menghilangkan ‘tension’ yang tidak berkesudahan, saya ganti sedikit masa yang sungguh bosan dengan basuh baju, gosok baju, basuh pinggan mangkuk, jahit baju, kemas bilik, kemas rumah dan sebagainya. Fuhhh, dengan ini saya sudah banyak menyelesaikan banyak perkara. Al-maklum sahajalah, masih lagi hidup membujang. Semuanya perlu dibuat dengan tangan sendiri. Setidak-tidaknya saya sudah hilangkan keserabutan diri sekaligus menyiapkan pelbagai perkara. Kalau tidak, kerana terlalu sibuk kerja, semua perkara ini terpaksa dihimpunkan ke hujung minggu. Itulah dia, hingga menyebabkan hendak balik kampung pun terpaksa fikir 3 kali.
Apa yang penting sebenarnya adalah pengurusan masa yang terbaik. Tetapi berapa ramai orang boleh sebut perkara itu, tetapi tidak mampu melaksanakannya. Kuncinya mudah, mereka tiada idea bagaimana praktikal menguruskan masa, yang mereka tahu hanya cakap-cakap kosong. Semoga idea dan tips yang saya lontar ini sedikit sebanyak membantu saudara- saudari sekelian. Teruskan dengan kejayaan demi kejayaan, bersungguh-sungguhlah ‘banyak’, bukan sikit. Hidup ini memang susah, tetapi bagaimana kita mahu jadikannya mudah? Fikir-fikir dan renung-renungkanlah. Ada idea kita kongsi bersama, insyaAllah.
Perjalanan program sama seperti hari sebelum ini, cuma ada cerita menarik dan tertariknya di sebalik tarikh ini. Saya bertindak seperti biasa, ambil gambar, beri kertas dan dengar ceramah sekali sekala. Sebelum waktu makan tengahari, cik Hurul Ain mengumumkan, “Memandangkan tarikh lahir En Abdul Qahhar adalah hari ini, sila nyanyikan lagu ‘birthday’ untuknya, 1, 2 mula. Happy birthday to you,….”. “Hah”, terkesima saya sekejap. Malu pun ada. Segan dibuatnya. “Sah dia tahu dari facebook”. Masa itu, saya hanya mampu tersenyum memanjang dan mengucapkan terima kasih. Tidak sangka orang Brunei meraikan orang sebegitu.
Ada peserta yang bertanya kepada saya, “Hari lahir yang ke berapa?”. “Yang ke 24 tahun”, beritahu saya. “Eii, mudanya, rasa macam sudah 30-an. Macam je”. “Ohh, macam je, bukan betul-betul pun“, jawab saya. Ada juga yang menyambung, “La, adik rupanya”. Bangga saya, ada orang anggap saya matang. Seorang peserta yang agak berusia datang kepada saya, “Anak saya pun ada sebaya dengan Qahhar”. “Iye puan? Tak sangka saya”. “Panggil saja saya mami, ada dulu staf PTS datang ke sini, dia panggil saya mami”. “Oh ye?, terima kasih mami”, terus sahaja dialog saya bertukar dengan memanggilnya mami. Kemudian datang seorang peserta wanita mengambil gambar saya. Katanya untuk dimasukkan dalam facebook. Hmm, makin popular saya sejak dari hari itu. Tetapi rasanya, sayalah orang termuda yang ada di bengkel ini. Tetapi rasa kekok atau janggal itu jauh sekali.
Malamnya, kami dijemput Puan Aminah, Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka. Yang hebatnya, dia menjemput kami bersama 2 orang anak dan suaminya. Terharu kami melihatnya. Kami makan malam di Medan Selera Terindak. “Di sana juga makanannya enak sekali bah”. Terutamanya “ambuyat”. Saya dan En Fauzul seperti biasa, makan apa yang ada. Sebabnya adalah satu, percuma. Kalau tidak makan, memang rugi. Membiarkan rezeki depan mata hanya dimakan orang lain. Mana boleh. Kata En Fauzul, “Rezeki hang la ni, sempena ‘birthday’ di Brunei. Terfikir saya, rasanya inilah kali pertama dihidangkan makanan sebegini di ulang tahun hari lahir saya. Sebelum ini, saya sendiri tidak pernah menyambutnya. Boleh lupa tarikh lahir sendiri adalah. Kali ini agak luar biasa, memandangkan saya ada 2 facebook, bertalu-talu ucapan selamat hari lahir diucapkan. Rasa seperti doa-doa yang diucapkan masuk menusuk qalbu. Itulah dia, di dunia Brunei. Al-kisahnya di sebalik tarikh keramat.
Malam kedua ini kami dijemput untuk berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Bagawan. Cik Hurul Ain menjemput kami dengan sebuah van besar di Hotel Grand City. Lama kami menunggu, lebih dari setengah jam. Dalam diam menunggu kami memerhatikan pengunjung dari Malaysia di lobi Hotel Grand City, di antaranya Dr Syarifah Hayati, Ustaz Mohd Farid Ravi dan Hafiz Hamidon. Semuanya bersiap-siap untuk keluar, barangkali ada Forum Perdana di Brunei. Kami hanya sekadar memerhati dari jauh gelagat mereka. Seolah-olah seperti tidak kenal pun.
Bermula perjalanan malam itu, kami dibawa ke Kampung Air untuk menikmati masakan Brunei. Tempat yang kami kunjungi dikenali sebagai “momok kafe”, sebabnya adalah kubur yang berhampiran di sini. Agak menyeramkan, tetapi bukan bagi sayalah. Kami dijamu seterusnya, enak sungguh masakannya, sampai saya lupa apa makanan yang dipesan (asing sungguh nama masakannya). Yang penting, saya sekenyang-kenyangnya malam itu. Kami dihidangkan pelbagai makanan, semuanya dibayar oleh Cik Hurul Ain, baik sungguh hati orang Brunei ini.
Kemudian dibawa pula ke sekitar Bandar Seri Begawan. Saya lihat dari sudut jalan, bangunan, perparitan, semuanya kelihatan teratur. Ringkas, lapang dan selesa mata memandang. Susah saya hendak bandingkan dengan mana-mana bandar di Malaysia. Cukup cantik dan tersusun di sini.
2 masjid yang sempat saya lawati. Cukup-cukup menawan, tetapi tidak boleh diambil gambar di dalamnya. Saya cuma sempat bergambar di luar sahaja. Melihat persekitaran, tempat wudhuk, isi dalam setiap ruang masjid. Terdapat juga 1 ruang lama yang masih dikekalkan yang saya kira sangat-sangat cantik di masjid Omar “Ali Saifuddien.
Apa yang sangat menarik lagi adalah sebuah masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah di mana kubahnya dibuat dengan emas tulen. Hampir 5-7 kubah yang paling besar termasuk setiap kubah menara masjid.
Saya perhatikan juga bangunan-bangunan di bandar ini, tiada 1 pun bangunan petak-petak seperti di Malaysia. Bangunannya mempunyai seni reka bentuk yang unik dan Islamik. Syarat binaan bangunan di sini pun sangat unik, tidak boleh tinggi dari menara masjid. Risiko untuk orang terjun bangunan, saya jamin memang tiada.
Kemudian kami lawati pula istana Negara yang sangat besar berbanding istana ayahanda Sultan Hassanil Bolkiah. Kecilnya lebih kurang seperti rumah banglo zaman dulu. Berbanding dengan istana yang baru ini, sangat besar siap dengan pengawal keselamatan. Geli hati saya melihat 2 orang pengawal yang terpacak di pintu utama. Kalau saya, 10 minit sahaja sudah tentu pitam. Istana ini didiami hampir seratus lebih orang yang bekerja hanya di istana. Saya terfikir, “apalah kerja yang dibuat di dalam tu, tak berbaloi betul, mungkin masa dihabiskan untuk menyapu sampah kot”. Tetapi menariknya tentang sultan di sini, baginda berperanan sebagai perdana menteri dan menteri besar. Hinggakan bergerak ke sesuatu tempat pun hanya baginda yang memandu, tiada pemandu peribadi. Dan lebih hebat lagi, dengan cara ini, baginda boleh pantau keadaan Negara secara senyap-senyap. Banyak perubahan dilakukan, menteri lain jadi tidak senang duduk dengan tindakan sultan mereka sendiri.
Perjalanan diteruskan, kali ini hujan renyai-renyai dan kami pun tidak singgah ke mana-mana, sekadar melihat-lihat dari dalam van. Mata mengantuk dek terlalu banyak makan, saya hanya mendengar perbualan Cik Hurul Ain, En Eddy dan En Fauzul Naim. Sambil mendengar, sambil terhangguk-hangguk dibuatnya. Dalam hati, “ bilalah nak balik ke hotel ni, rancak sangat berbual depa ni”. Cik Hurul Ain membawa kami ke gerai untuk menempah nasi Katok. Terperanjat saya, “makan lagi ke?”. Tetapi tawaran itu tetap kami terima, makanan percumalah katakan. Saya rasakan, tidak pernah sempat pun kami ini berlapar sepanjang berada di Brunei. Cuma saya terselamat dari mangsa kegemukan. (“,). Kami dibawa pula berjalan-jalan lagi. Dalam perjalanan, saya tidak larat menanggung kelopak mata yang sangat berat. Tidurlah jawapannya dalam keadaan duduk. Jam 11.30, melihat saya seorang yang makin terhangguk-hanguk, cik Hurul Ain bawa kami ke hotel. Maka kami berangkat ke bilik, lalu menghabiskan nasi Katok sebelum tidur. Zzzzz
Teruja juga bila mendengar orang mengatakan Brunei itu Negara yang Islamik. Terdetik dalam hati saya “Bagus ni, mungkin perjalanan kali ni nampak menarik. Aku nak tengok apa bestnya ada di sini”. Saya tengok, intai-intai sekeliling hotel, malam pertama di Hotel Grand City, Brunei. “Tak nampak apa-apa pun”. Gelap gelita, jam 9 malam di brunei seolah-olah jam 10 malam di Malaysia. “Hmm, kalau macam ni, duduk di bilik sajalah”. Buka laptop, kemaskini maklumat tentang program. Siap sedia barang-barang yang hendak dibawa esok, kemudian kembali semula ke laptop untuk melayari internet. Rasa tenang di Brunei, tiada hiruk piruk seperti di Kuala Lumpur. Kalau di Kuala Lumpur malam pun hiruk piruk, di sini sangat berlainan. Tenang dan sangat mententeramkan.
Hari pertama di Brunei, subuh saya jadi lewat. Biasanya di Kuala lumpur, jam 5.30 sudah subuh, tetapi di Brunei seawal jam 5 pagi sudah masuk subuh, saya pula bangun jam 5.45 pagi. Dalam hati, “Ahh, sudah, lewat sangat ni”. Bangun, mandi, siap-siap dan terus solat subuh. Jam di tangan menunjukkan jam 6.15. Rasanya sempat juga saya solat subuh tadi. Saya mengintai pula di luar tingkap. “Haah”, sedikit terperanjat, rupa-rupanya sudah terang benderang di sini. Astagfirullah al-‘Azim…. Pengajarannya, solatlah diawal waktu.
Bersiap pula ke tempat bengkel, sebelum tu sarapan dulu di hotel. Kalau malam tadi saya dapat voucher $10 untuk makan malam, saya habiskan dengan makan nasi goreng ayam nestum dan jus ‘carrot’. Pagi ini tidak diberikan pula voucher, maka makan sajalah apa yang agak murah. Perjalanan ke Dewan Bahasa dan Pustaka pagi itu agak tenang. Tidak sesibuk di Kuala Lumpur. Sampai di Dewan Bahasa dan Pustaka disambut pula oleh staf-staf di sana, sambutan yang sangat ramah. Di bahagian pendaftaran, ramai pula staf-staf wanita, menyiapkan bahan-bahan bengkel peserta. Saya kira dalam 10 orang juga yang menyiapkan bahan. Saya keluarkan bahan-bahan dari Akademi Penulis untuk peserta. Dalam sekelip mata, semuanya siap disusun oleh staf di sini. Alangkah hebat, cepat sungguh tindakan mereka. Kagum sungguh saya dengan sikap mereka.
Saya perhatikan semua staf yang ada di sini, kebanyakannya wanita. Saya lihat semuanya berpakaian kontemporari, memang ‘up to date’. Dengan tudungnya yang berwarna warni, baju kebaya dan baju kurung bermacam fesyen. Boleh saya katakan, tiada seorang pun yang memakai tudung yang agak labuh, tetapi semunya menutup aurat. Pada mulanya, fikiran saya agak negatif. Tapi bila saya perhatikan betul-betul, hanya wanita muda sahaja yang begitu, pakaiannya pun agak sendat. Dalam hati saya mengatakan, jangan terus menghukum. Selepas waktu zohor, datang seseorang menghampiri saya. Saya sempat berbual dengannya iaitu seorang wanita yang saya kira paling cantik di dalam bengkel itu. Gulp.., terkedu saya sekejap. Sambil-sambil berkongsi cerita tentang dunia penulisan, dia meluahkan pernah berkarya untuk penulisan bertajuk kanak-kanak Islam. Menang pula nombor 2 dalam pertandingan. Dia rasakan pendekatan kanak-kanak juga boleh diterapkan untuk cerita tentang tokoh besar seperti Obama. Saya katakan, itu memang sangat menarik. Buat dalam bentuk cerita yang santai dan pendek-pendek. Kanak-kanak pun pun perlu didedahkan dengan tokoh-tokoh besar dunia. Lagi-lagi boleh dijadikan idola bagi mereka. Di lain masa, saya juga ada berbual dengan staf-staf lain. Yang sangat menarik, ada di antara mereka yang membaca Harakahdaily.net, kenal dengan Ustaz Dr Asri, Ustaz Dr Danial dan lain-lain. Bercerita juga bab-bab masyarakat dan agama. Saya dapat rasakan mereka ini memang sangat berpegang dengan agama. Barulah hilang perasaan negatif saya sebelum ini.
Ditengah-tengah waktu berbengkel, datang 2 orang pegawai Dewan Bahasa & Pustaka memanggil penceramah. Dalam fikiran saya, “Ai, macam nak tangkap orang saja ni”. En Fauzul Nai’im dipanggil untuk disoalsiat di bilik belakang. Dup dap dup dap, saya menunggu. En Fauzul Na’im keluar dan nama saya dipanggil, “Qahhar, hang pi jumpa pegawai tadi, depa nak jumpa”. “Ai, kenapa tetiba pula ni. Saya pun bergerak menuju ke bilik. “Nah”, duit dihulur depan saya. Sedikit terkejut “Nak bagi duit rupanya”. “Cuba Encik kira duit ni, cukup atau tidak?”, sambut pegawai itu. Saya kira-kira dan jumlahnya cukup. “Beres, wangnya cukup Tuan, terima kasih”, sambil saya menghulurkan salam. Terdetik dalam hati saya, “Bagus betul orang Brunei ni, kalau aku balik terus malam ni tinggalkan Brunei boleh saja. Duit pun dah dapat”. Duit yang saya dapat, saya simpan dan saya ceritakan hal itu kepada En Fauzul Na’im. Kami ketawa besar malam itu memikirkan kepercayaan tinggi orang Dewan Bahasa & Pustaka kepada pihak kami. Tidak pernah selama saya membuat bengkel dibayar tunai pada hari pertama. Aneh, pelik dan ajaib tetapi benar. Itulah dia ragam manusia.
Pulang dari bengkel pada hari pertama, saya sempat mengambil gambar-gambar sekitar Brunei. Paling menarik dalam diri saya ialah penggunaan tulisan Jawi di mana sahaja ‘signboard’ dan nama bangunan digunakan di setiap tempat. Pemandu yang membawa pulang kami mengatakan semua nama syarikat perlu ada tulisan jawi. Kalau tidak, nama yang disyorkan tidak akan diwartakan sebagai syarikat. Hebat. Saya fikirkan undang-undang di sini cukup bagus untuk memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Tidak perlu saya bandingkan di Malaysia, saudara saudari sudah pastinya maklum.
Pada hari kedua, saya sempat berbual dengan seorang lagi peserta bengkel. Menariknya, sistem pendidikan di sini bermula sejak umur 6 tahun lagi untuk darjah 1. Tup tap, anak-anak sudah boleh masuk universiti dalam usia 16 tahun jika dia cemerlang. Fuhh, saya rasa ini 1 keistimewaan yang patut dibuat di Malaysia. Cemerlang terus cemerlang, yang biasa pula ikut ‘standard’. Untuk bekerja kerajaan pula boleh masuk seusia 23 tahun. Sangat-sangat muda. Dunia ini perlu dikuasai oleh orang muda-muda. Bukan mahu kata orang tua itu tidak bagus, tetapi mempercepatkan tindakan dan gerak kerja. Kita bentuk generasi baru yang mampu membawa perubahan demi perubahan. Sungguh mengkagumkan.
Sifat ramah tamah orang Brunei juga amat saya kagumi. Hulur tangan, beri salam, senyum ceria ,tanya khabar, ucapan terima kasih dan lain-lain itu jadi perkara sangat biasa. Sangat ramah berbanding orang biasa di Malaysia. Sedangkan bagi saya mereka ini seperti orang jemaah atau sahabat baik yang sangat rapat. Kagum…kagum.. Kagum.. Bumi yang barakah anugerah dari Allah. Sebuah perkongisan.
Saya simpulkan 5 perkara atau matlamat untuk berkahwin. Bukan atas dasar suka-suka hendak berkahwin, tetapi bersebab dan bermatlamat. Jika kita ada matlamat dan cita-cita dalam perkahwinan, insyaAllah jalan yang akan kita telusuri berada dalam keadaan tenang dan berfokus.
Membawa Islam bukan sahaja di luar, tetapi untuk diri sendiri juga. Kita sibuk berdakwah di luar, sampaikan terlupa anak-anak, isteri, ibu bapa, adik beradik yang perlu juga ditarbiyah. Keluarga itu permata hati yang perlu dibawa sekali hingga ke syurga. Mungkin dalam tanggapan kita, kita sibuk melayan kerenah orang di luar, tetapi orang yang paling dekat dengan kita sendiri terabai. Abang hal abang, kakak dengan halnya, adik pun begitu, termasuklah kita. Kita rasakan masyarakat itu utama, sampai terlepas pandang isi dalam yang perlu di‘lunas’kan dahulu. Rasulullah sendiri memulakan dakwah Islam melalui keluarga, dari isterinya turun ke anak sendiri, tersebar pula kepada sepupu, bapa saudara dan seterusnya barulah mula turun ke masyarkat. Dari sembunyi-sembunyi, berterusan pula secara terang-terangan. Saya mahu bawa satu analogi bahawa pokok yang kuat asalnya dari benih yang baik, terus membentuk akar untuk menapak, kemudian tumbuh tunas yang memucuk. Kemudian gah sebagai sebatang pokok yang kian membesar laksana pokok balak yang sangat-sangat besar. Begitu juga dalam kehidupan kita dalam membawa Islam. Mula dulu dari keluarga, sanak saudara, rakan taulan, seterusnya masyarakat yang lebih besar. Jangan dek mengejar perkara yang besar, kita tertinggal orang yang tersayang. Bak pepatah mengejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Cek balik solat jemaah, taddarus al-Quran, tazkirah mingguan, makan berjemaah, aktiviti petang, gotong royong, puji memuji, gurau senda dan sebagainya. Adakah sudah wujud kasih sayang dan amalan Isalami sepenuhnya dalam diri kita? Jika belum, jom kita laksanakan. Apa hendak tunggu lagi? Jika ia sudah benar-benar kuat, kita susuli pula untuk peringkat seterusnya iaitu masyarakat.
“Kasih sayang itu titi, kasih sayang penghubung hati
kasih sayang itu tali, kasih sayang pengikat diri
dari kasih timbul simpati, dari sayang timbul persaudaraan....”
Sedikit lirik nasyid KASIH SAYANG dari Raihan. Bekahwin itu pastinya kita hendakkan kasih sayang. Cinta mencintai, rindu merindui, sayang menyayangi dan sewaktu dengannya. Itulah matlamat kahwin, orang tidak mahu apabila berkahwin timbul prasangka buruk, bergaduh, maki memaki, malu memalukan atau sebagainya. Kita hendak jalinkan hubungan dengan saling percaya mempercayai bersama pasangan. Tiada isu sangka buruk, tiada isu cemburu buta dan tiada isu tuduh menuduh. Kasih sayang itu perlu disulami dengan perkara baik-baik sahaja. Perkara buruk-buruk itu buang jauh-jauh. Jangan ada dalam fikiran, jangan biarkan terngiyang-ngiyang di kepala, jika tidak ia bakal merosakkan institusi keluarga. Naungilah bahtera perkahwinan itu dengan saling gurau senda, bersuka duka, cuit mencuit, puji memuji, bantu membantu, bertoleransi dan sebagainya. Sebagai contoh paling mudah, si isteri memanggil si suami dengan panggilan “abang”. Si suami pula memanggil isteri dengan panggilan “sayang”. InsyaAllah akan wujud dalam hati itu sikap sayang menyayangi. Pangilan abang menunjukkan “hormat”, panggilan sayang menunjukkan “cinta”. Panggilan-panggilan inilah doa yang sentiasa mengiringi dan menaungi pasangan. Allah juga turut yang memberkati, subhanallah.
Pasangan boleh diibaratkan rakan sekerja terbaik. Di luar bersama, apatah lagi di dalam. Ishh, kalau buat perniagaan bersama, insyaAllah cemerlang dan berjaya. Lihat sahaja Rasulullah dan Saidatina Khadijah, betapa gabungan yang mantap ini mampu melebarkan sayap perniagaan. Baik, dilihat pada hubungan perkahwinan, bersama dengan pasangan itu sudah pastinya dalam tempoh yang lama. Jadi, bila di luar rumah mungkin ada pejabat sendiri yang diuruskan bersama. Kemudian, setelah pulang pun boleh berbincang hal-hal perniagaan bersama. Idea-idea dicurahkan juga semasa berbual, bersembang dan sebagainya. Inilah ruang yang sangat bermanfaat digunakan oleh setiap pasangan. Setiap ruang dan peluang itu digunakan sebaik mungkin, tiada langsung masa kosong yang terbuang. Si suami pengarah, si isteri pula penolong pengarah. Hmmm, sangat ideal dan hebat. Pasangan itu fokusnya bukan setakat pasangan di rumah sahaja, tetapi di luar juga. Pasangan itu ibarat kawan rapat, rakan sekerja, adik beradik, saudara rapat, pesaing terhebat dan sewaktu dengannya. Suami dan isteri itu adalah segala-galanya bagi setiap pasangan. Kalau ada pepatah mengatakan kawan yang baik itu adalah segala-galanya, tetapi bagi saya tidak. Pasangan yang baik itulah segala-galanya bagi kita. Yakinlah kita pada pasangan yang kita sendiri pilih dan sayangi.
Sudah berkahwin, sudah mesti seterusnya mahukan anak. Mahu dengar gelak tawa anak-anak, gurau manja anak-anak. Mahu juga lihat wajah-wajah ceria dan comel anak-anak. Ini semua adalah keinginan yang lahir dari fitrah semula jadi hasil dari kasih sayang. Anak-anak itu permata hati ibu bapa atau suami isteri. Merekalah penyambung zuriat kita, penyambung nasab dan keturunan. Mereka juga pengganti kita, pewaris yang menerajui apa yang telah kita terajui sebelum ini. Penyambung semangat, cita-cita dan harapan yang belum lagi ditunaikan lagi semasa hayat kita. Mereka ibarat dahan pokok yang tumbuh secara bersambung dan bercabang-cabang lalu jadilah pokok yang sangat rendang iaitu satu keluarga yang besar dan berantai. Boleh juga saya katakan akan wujud satu kelompak masyarakat yang besar dan mampu bawa Islam secara kamil bermula dari hasil perkahwinan. Binaan ini mengukuhkan lagi empayar untuk membawa Islam ke seluruh pelusuk asalkan hubungan kekeluargaan itu didasari Islam sebagai tunjangnya. Inilah perajurit-perajurit Islam yang bakal dilahirkan. Komuniti keluarga yang sangat diidam-idamkan oleh saya juga.
Saya meletakkan perkara ini sebagai isu paling terakhir dalam perkahwinan. Kita kadang-kadang memang sukar untuk mengelak dari dosa maksiat dek nafsu syahwat. Maka jalan penyelesaiannya adalah perkahwinan. Tetapi jangan sesekali jadikan alasan ini adalah alasan paling utama untuk berkahwin. Banyak lagi isu yang perlu diketengahkan, kita mahu lahirkan anak-anak yang berkualiti. Kalau masih ada dalam diri perasaan perkahwinan itu didirikan atas dasar melepaskan nafsu semata-mata, kita tidak akan ke mana. Anak yang bakal dilahirkan tidak akan menjadi seperti apa yang kita idam-idamkan. Kita mahukan anak yang soleh, taat, patuh pada orang tua, menjaga maruah diri dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu jadi idola mereka. Bukan mula sejak dari mereka lahir, tetapi sejak kita berkahwin lagi kita perlu jadi orang yang soleh dan solehah. Perbaiki diri dan persiapkan diri juga semaksimanya dalam hubungan perkahwinan. Tanamkan jiwa kasih sayang antara pasangan, pasti lodak nafsu itu berada di bawah naungan-Nya. Allah akan tenteramkan jiwa, tenangkan hati dan bersihkan minda. Jalannya adalah dengan mengingati Allah.