Membayang dan memikirkan ciptaan-Nya..
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..
Image Hosted by ImageShack.us


Di kala musim cuti yang kian hampir, di kala ini jualah ramai sahabat-sahabat saya sendiri berpakat-pakat untuk berkahwin. Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke atas mereka yang akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Saya sendiri terpanggil untuk memberikan sedikit komentar tentang hal ini. Dengan tajuk yang saya sendiri rasa amat menarik, 1 kupasan tentang “perkahwinan itu amanah yang terindah”.

Biasa kita tahu, amanah itu tersangat berat. Ia satu tanggungjawab, pikulan, bebanan dan penuh dengan kepayahan. Tetapi perkahwinan itu lain dari yang lain. Hebat benar penangan perkahwinan. Ia amanah, tetapi begitu indah. Tidak membebankan, tidak pula merumitkan. Ia tanggungjawab, tetapi penuh dengan pengajaran. Tidak sukar, tidak pula memenatkan. Itulah perkahwinan yang terjalin dengan suasana harmoni. Siapa tidak mahu bahagia? Siapa pula tidak mahu gembira? Kalau saya tujukan soalan ini kepada saudara saudari, sudah pasti jawapannya, SAYA MAHU... Semua orang inginkan kebahagian dan kegembiraan. Lebih-lebih lagi dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang, saling memahami, tolong menolong, puji memuji dan saling bertolerasi. Indah lagi jika suatu perkahwinan itu disulami keimanan dan ketaqwaan. Makna surah yang boleh dikongsikan.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum: 21)

Jika kita amati semula hadith-hadith, Rasulullah saw menggalakkan perkahwinan dan menunjukkan kelebihan serta keistimewaan berkahwin. Rasulullah saw menyebutkan perkahwinan sebagai satu sunnahnya yang baginda sukai, dan barangsiapa yang tidak mahu berkahwin, maka dia bukanlah daripada golongan Rasulullah (umat Islam). Bahkan, Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang hanya mahu menghabiskan seluruh siang dan malamnya untuk hanya beribadah dan tidak mahu berkahwin. 1 hadith juga yang boleh dikongsi.

“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.”(Hadith riwayat At-Tabrani)

Suka duka perkahwinan itu salah satu lumrah pengisian hidup. Gembira bersama, sedih pun mesti bersama. Apa yang dibuat isteri, dibuat juga oleh suami. Apa yang dibuat suami, itu jugalah yang dilakukan isteri. Berjalan beriringan berpimpin tangan. Bercerita dan berkongsi pengalaman. Bergurau senda dan bergelak tawa. Ingat sambil mengingati. Hormat saling menyayangi. Duduk sama rendah, berdiri pun sama tinggi. Sakit si suami, si isteri juga merasai, ibarat cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Angau si isteri mengenang si suami, rindu si suami mengenang si isteri. Aduhailah jiwa, indahnya perkahwinan bila dihambat cinta Allah.

“Kahwinkanlah orang-orang yang masih sendirian di antara kamu, sesungguhnya Allah akan memperbaiki akhlak mereka, meluaskan rezeki mereka dan menambahkan keluhuran mereka.”(Maksud Hadith)


Perkongsian di alam perkahwinan membawa bahagia. Rasulullah pernah berkongsi dengan A’isyah sebuah cawan untuk minum. Di mana letaknya bibir A’isyah, di situ jugalah bibir Rasulullah menghirup air. Begitu juga kisahnya bagaimana Rasulullah membantu A’isyah di dapur, membuat kerja-kerja rumah dan sebagainya. Sikap tidak membebankan seperti Rasulullah menjadi contoh kepada setiap pasangan. Rasulullah pernah menjahit jubahnya sendiri tanpa meminta pertolongan isterinya. Tidak meminta, apatah lagi mendesak. Diceritakan juga, Rasulullah pernah pulang ke rumah dalam keadaan lapar, tetapi mendapati makanan belum siap dimasak. Lantas baginda menyinsingkan lengan jubahnya menolong isterinya menyiapkan makanan. HEBAT.. Lelaki itukan dianugerahkan dengan tenaga yang lebih. Apa salahnya disumbangkan buat si isteri sebagai perencah istimewa, supaya bertambah-tambah pula seri hubungan dua merpati sejoli.

Mencium isteri, memangkunya, memeluknya, meletakkan kepala di atas ribanya menjadi tabiat yang sepatutnya. Isteri itu adalah anugerah teristimewa. Bukan sekadar isteri, bahkan dialah permata hati laksana ibu penyayang, teman karib, pembantu setia, rakan sekerja, penyokong kuat dan juga penasihat kepada sang pelupa (suami). Begitu juga sang suami, peranan dan tugasnya adalah sama, bahkan lebih lagi sebagai ketua laksana orang kuat, pemimpin berwibawa dan idola bagi sang pedamba (isteri).

Sang suami dan isteri itu sentiasa ke mana sahaja bersama, tidak ubah ibarat belangkas. Dilepaskan sayang, ditinggalkan rindu, apatah lagi dijauhkan. Perkahwinan ini menjanjikan kesempurnaan. Saling melengkapi, saling mencukupi dan saling memperbaiki. Saya cukup berbangga jika institusi kekeluargaan itu dilandaskan dengan iman dengan taqwa. Saling percaya merpercayai, saling membuat kebaikan dan saling bertolak ansur. Malah mempraktikkan setiap perkara bersama dengan bersolat jemaah, berdoa, bertaddarus al-Quran, berdiskusi, bertazkirah dan sebagainya.

Di bawah ini, disertakan doa pengasih. Buat amalan bagi yang hendak dan akan berkahwin, begitu juga yang sudah berkahwin.

اللهم حبّب عبدك هذا الى عبادك المؤمنين وحبّب الى المؤمنين

"Ya Allah,jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman,dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman"

Semoga perkahwinan itu membuahkan bait-bait rasa keindahan yang berterusan dan terkesan hingga ke dasar QALBU.

“Ku Mencintaimu Kerana Agama Yang Ada Padamu..Jika Kau Hilangkan Agama Dalam Dirimu Maka Hilanglah Cintaku Padamu..."

2 comments:

izz_nur said...

Hebat sungguh Rasulullah!tak segan silu atau ego utk membantu isteri di dapur.Bestnya kalau dpt suami yg rajin bantu isteri ni kan.Tak mcm kebanyakan lelaki zaman sekarang, kerja isteri, isteri je kena buat, suami tk perlu bantu..hmmm

BroZikr said...

Tak semua begitu, ada yang masih baik lagi. Cuma kena cek betul-betul siapa orangnya. Cinta sebelum kahwin ni kebanyakanya pura-pura. Carilah orang yang cintanya selepas berkahwin, insyaAllah terbaik..