Membayang dan memikirkan ciptaan-Nya..
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..
Image Hosted by ImageShack.us


Sebagai permulaan bicara, saya timbulkan satu persoalan. Benarkah saya lalai? Saya tidak mengkhususkan saya lalai itu kepada saya seorang, tetapi lalai itu bagi sesiapa yang membaca persoalan ini. Bagi sesiapa yang membaca persoalan ini, sebenarnya dia menyoal dirinya sendiri. Benarkah saya lalai? Lalai kepada siapa? Kenapa saya lalai? Bagaimana saya boleh lalai? Bertalu-talu persoalan yang sepatutnya terngiang-ngiang dalam kotak pemikiran kita. Realitinya kita lalai dengan Allah. Percaya atau tidak, itulah realitinya. Hatta nabi pun lalai, apatah lagi kita ini manusia yang amat biasa. Saya tak nafikan saya juga lalai, bukan kadang-kadang, tetapi acap kali begitu. Saya mahu katakan, dosa kecil itulah yang melalaikan kita. Perkara yang remeh temeh itu jugalah sebenarnya membuatkan kita lupa kepada Allah.

Situasinya begini, saya sebagai seorang lelaki amat sukar sekali mengelak dosa kecil. Apa dosa kecil itu? Kecil, hampir-hampir sahaja tidak perasan, tetapi sebenarnya mengundang dosa. Melihat perempuan yang tidak bertudung, bukankah ia dosa? Berapa ramai perempuan yang tidak memakai tudung di dunia ini, termasuk yang bukan Islam? Ramai, terlalu ramai berbanding yang bertudung. Pergi ke kampus, jumpa. Pergi ke tempat kerja, jumpa. Pergi ke kedai pun jumpa. Pergi ke masjid pun kadang-kadang terjumpa. Tengok televisyen apatah lagi, pasti jumpa. Itu baru yang tidak bertudung, yang seksinya, yang tak senonohnya dan entah apa-apa lagi, semuanya juga terjumpa tanpa sengaja. Bagaimana hati ini tidak lalai? Dosa memenuhi ruang jiwa. Dosa inilah yang mengheret kita ke arah kelalaian. Dosa kecil yang dikumpul tanpa taubat, akan membenamkan lagi hati dari cahaya ilahi. Jangan sesekali meremehkan temehkan dosa kecil, kalau hari ini ia ada, pasti esoknya ia sudah beranak pinak. Anggaplah dosa kecil ini duri dalam daging.

Astaghfirulah al-‘azim. ISTIGHFAR, istighfarlah pengubatnya. Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, isikan dengan istighfar dan zikir-zikir. Selepas solat, sediakan sedikit ruang masa untuk berzikir. Ketika sedang menunggu sahabat kita pun, di kala itu jugalah kita boleh berzikir. Malah dengan memuliakan tetamu dan rajin pula bersedekah, mudah-mudahan hati ini sentiasa bersih dan tenang. Terlepas dari belengu dosa-dosa yang membukit.

Bercakap-cakap kosong juga sebenarnya buat kita lalai. Tiada input berguna, tiada ilmu yang diisikan. Seronok bercakap, apatah lagi mengata orang. Secara tidak sedar, kita sudah pun mengaut dosa. Bila bercakap tanpa ilmu, bercakap pula hal-hal yang mengundang dosa membuatkan kita lalai kepada Allah. Hati ini kalau tidak diisi dengan suatu yang bermanfaat, yakin dan percayalah bahawa kita memberi ruang kepada syaitan untuk menggoda, memberi tipu helah, mengungkap kata-kata nista. Akhir sekali kita kecundang kerana salahnya juga adalah dari kita sendiri. Bukan sahaja membuat suatu yang tidak mendatangkan manfaat, malah memikirkannya juga menjemput lalai dalam hati kita. Ingat Allah yang Esa, pasti Allah lebih-lebih lagi mengingatkan kita.

Saya ingin kongsikan bagaimana pula solat boleh melalaikan kita. Kita faham solat itu mengingatkan kita, tetapi ia adalah sebaliknya. Memang solat itu mengingatkan kita pada Allah, pada Rasul, pada yaumu ad-din. Tetapi percayalah solat yang tidak khusyuk, solat yang main-main, solat yang buat alar kadar, solat yang diremeh temehkan, solat yang kadang-kadang, solat kerana terpaksa dan macam-macam lagi. Percayalah bahawa ia mengundang kelalaian yang paling dahsyat. Sangat dasyat. Hendak bersedekah jadi kedekut. Hendak menolong, tetapi jadi pentingkan diri. Hendak rajin, tetapi jadi malas. Hendak berbuat baik, tetapi cenderung berbuat jahat. Inilah malapetaka apabila solat itu tidak dilaksanakan sebaiknya. Solat itu, apabila dilaksanakan sebaiknya, timbul rasa tenang, didatangkan banyak ilham, dipermudahkan jalan, diberi petunjuk dari kebuntuan dan sebagainya. Solat itu kunci kebaikan, kalau kunci itu digunakan untuk membuka sebarang pintu apapun, pasti hasilnya adalah kebaikan.

Cuba kita hadapkan diri kepada Allah dengan sepenuh hati. Hati yang bersih akan terbitkan perasaan yang membuatkan kita tersentuh apabila sesuatu itu benar-benar datang dari Allah. Tiada paksaan, apatah lagi cuba dibuat-buat. Apabila berdoa, kita hadirkan dzuk yang menuzuk qalbu, kita hadirkan perasaan bahawa Allah itu dihadapan. Sedang memerhatikan kita, sedang menaungi kita dengan berkat-Nya, sedang melimpahkan kasih sayang-Nya, pasti akan hadir rasa yang amat indah dari apa yang terindah. Kita ungkapkan doa-doa yang kita sendiri fahami, kita tahu maksudnya dan ertinya. Dengan cara ini, kita benar-benar merasakan bahawa kita sedang berbual-bual dengan Allah. Kita akan rasakan Allah juga membalas setiap butir perkataan kita dengan rasa ketenangan.


“Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, bersihkan hati kami, buangkan noda di hati, tunjuki kami jalan yang dikau redhai, bimbingi kami ke arah yang pasti, berikan kami destinasi yang hakiki dan golongkan kami ke golongan yang dikau cintai. Kami hanyalah hamba yang bermohon, bermunajat meminta simpati, lindungilah kami dari seksa api. Mudah-mudahan kami menjadi hamba-Mu yang sentiasa diberkati.”

0 comments: