Membayang dan memikirkan ciptaan-Nya..
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..


Sebagai permulaan bicara, saya timbulkan satu persoalan. Benarkah saya lalai? Saya tidak mengkhususkan saya lalai itu kepada saya seorang, tetapi lalai itu bagi sesiapa yang membaca persoalan ini. Bagi sesiapa yang membaca persoalan ini, sebenarnya dia menyoal dirinya sendiri. Benarkah saya lalai? Lalai kepada siapa? Kenapa saya lalai? Bagaimana saya boleh lalai? Bertalu-talu persoalan yang sepatutnya terngiang-ngiang dalam kotak pemikiran kita. Realitinya kita lalai dengan Allah. Percaya atau tidak, itulah realitinya. Hatta nabi pun lalai, apatah lagi kita ini manusia yang amat biasa. Saya tak nafikan saya juga lalai, bukan kadang-kadang, tetapi acap kali begitu. Saya mahu katakan, dosa kecil itulah yang melalaikan kita. Perkara yang remeh temeh itu jugalah sebenarnya membuatkan kita lupa kepada Allah.

Situasinya begini, saya sebagai seorang lelaki amat sukar sekali mengelak dosa kecil. Apa dosa kecil itu? Kecil, hampir-hampir sahaja tidak perasan, tetapi sebenarnya mengundang dosa. Melihat perempuan yang tidak bertudung, bukankah ia dosa? Berapa ramai perempuan yang tidak memakai tudung di dunia ini, termasuk yang bukan Islam? Ramai, terlalu ramai berbanding yang bertudung. Pergi ke kampus, jumpa. Pergi ke tempat kerja, jumpa. Pergi ke kedai pun jumpa. Pergi ke masjid pun kadang-kadang terjumpa. Tengok televisyen apatah lagi, pasti jumpa. Itu baru yang tidak bertudung, yang seksinya, yang tak senonohnya dan entah apa-apa lagi, semuanya juga terjumpa tanpa sengaja. Bagaimana hati ini tidak lalai? Dosa memenuhi ruang jiwa. Dosa inilah yang mengheret kita ke arah kelalaian. Dosa kecil yang dikumpul tanpa taubat, akan membenamkan lagi hati dari cahaya ilahi. Jangan sesekali meremehkan temehkan dosa kecil, kalau hari ini ia ada, pasti esoknya ia sudah beranak pinak. Anggaplah dosa kecil ini duri dalam daging.

Astaghfirulah al-‘azim. ISTIGHFAR, istighfarlah pengubatnya. Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, isikan dengan istighfar dan zikir-zikir. Selepas solat, sediakan sedikit ruang masa untuk berzikir. Ketika sedang menunggu sahabat kita pun, di kala itu jugalah kita boleh berzikir. Malah dengan memuliakan tetamu dan rajin pula bersedekah, mudah-mudahan hati ini sentiasa bersih dan tenang. Terlepas dari belengu dosa-dosa yang membukit.

Bercakap-cakap kosong juga sebenarnya buat kita lalai. Tiada input berguna, tiada ilmu yang diisikan. Seronok bercakap, apatah lagi mengata orang. Secara tidak sedar, kita sudah pun mengaut dosa. Bila bercakap tanpa ilmu, bercakap pula hal-hal yang mengundang dosa membuatkan kita lalai kepada Allah. Hati ini kalau tidak diisi dengan suatu yang bermanfaat, yakin dan percayalah bahawa kita memberi ruang kepada syaitan untuk menggoda, memberi tipu helah, mengungkap kata-kata nista. Akhir sekali kita kecundang kerana salahnya juga adalah dari kita sendiri. Bukan sahaja membuat suatu yang tidak mendatangkan manfaat, malah memikirkannya juga menjemput lalai dalam hati kita. Ingat Allah yang Esa, pasti Allah lebih-lebih lagi mengingatkan kita.

Saya ingin kongsikan bagaimana pula solat boleh melalaikan kita. Kita faham solat itu mengingatkan kita, tetapi ia adalah sebaliknya. Memang solat itu mengingatkan kita pada Allah, pada Rasul, pada yaumu ad-din. Tetapi percayalah solat yang tidak khusyuk, solat yang main-main, solat yang buat alar kadar, solat yang diremeh temehkan, solat yang kadang-kadang, solat kerana terpaksa dan macam-macam lagi. Percayalah bahawa ia mengundang kelalaian yang paling dahsyat. Sangat dasyat. Hendak bersedekah jadi kedekut. Hendak menolong, tetapi jadi pentingkan diri. Hendak rajin, tetapi jadi malas. Hendak berbuat baik, tetapi cenderung berbuat jahat. Inilah malapetaka apabila solat itu tidak dilaksanakan sebaiknya. Solat itu, apabila dilaksanakan sebaiknya, timbul rasa tenang, didatangkan banyak ilham, dipermudahkan jalan, diberi petunjuk dari kebuntuan dan sebagainya. Solat itu kunci kebaikan, kalau kunci itu digunakan untuk membuka sebarang pintu apapun, pasti hasilnya adalah kebaikan.

Cuba kita hadapkan diri kepada Allah dengan sepenuh hati. Hati yang bersih akan terbitkan perasaan yang membuatkan kita tersentuh apabila sesuatu itu benar-benar datang dari Allah. Tiada paksaan, apatah lagi cuba dibuat-buat. Apabila berdoa, kita hadirkan dzuk yang menuzuk qalbu, kita hadirkan perasaan bahawa Allah itu dihadapan. Sedang memerhatikan kita, sedang menaungi kita dengan berkat-Nya, sedang melimpahkan kasih sayang-Nya, pasti akan hadir rasa yang amat indah dari apa yang terindah. Kita ungkapkan doa-doa yang kita sendiri fahami, kita tahu maksudnya dan ertinya. Dengan cara ini, kita benar-benar merasakan bahawa kita sedang berbual-bual dengan Allah. Kita akan rasakan Allah juga membalas setiap butir perkataan kita dengan rasa ketenangan.


“Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, bersihkan hati kami, buangkan noda di hati, tunjuki kami jalan yang dikau redhai, bimbingi kami ke arah yang pasti, berikan kami destinasi yang hakiki dan golongkan kami ke golongan yang dikau cintai. Kami hanyalah hamba yang bermohon, bermunajat meminta simpati, lindungilah kami dari seksa api. Mudah-mudahan kami menjadi hamba-Mu yang sentiasa diberkati.”

[+/-] Show Full Post...


Di kala musim cuti yang kian hampir, di kala ini jualah ramai sahabat-sahabat saya sendiri berpakat-pakat untuk berkahwin. Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke atas mereka yang akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Saya sendiri terpanggil untuk memberikan sedikit komentar tentang hal ini. Dengan tajuk yang saya sendiri rasa amat menarik, 1 kupasan tentang “perkahwinan itu amanah yang terindah”.

Biasa kita tahu, amanah itu tersangat berat. Ia satu tanggungjawab, pikulan, bebanan dan penuh dengan kepayahan. Tetapi perkahwinan itu lain dari yang lain. Hebat benar penangan perkahwinan. Ia amanah, tetapi begitu indah. Tidak membebankan, tidak pula merumitkan. Ia tanggungjawab, tetapi penuh dengan pengajaran. Tidak sukar, tidak pula memenatkan. Itulah perkahwinan yang terjalin dengan suasana harmoni. Siapa tidak mahu bahagia? Siapa pula tidak mahu gembira? Kalau saya tujukan soalan ini kepada saudara saudari, sudah pasti jawapannya, SAYA MAHU... Semua orang inginkan kebahagian dan kegembiraan. Lebih-lebih lagi dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang, saling memahami, tolong menolong, puji memuji dan saling bertolerasi. Indah lagi jika suatu perkahwinan itu disulami keimanan dan ketaqwaan. Makna surah yang boleh dikongsikan.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum: 21)

Jika kita amati semula hadith-hadith, Rasulullah saw menggalakkan perkahwinan dan menunjukkan kelebihan serta keistimewaan berkahwin. Rasulullah saw menyebutkan perkahwinan sebagai satu sunnahnya yang baginda sukai, dan barangsiapa yang tidak mahu berkahwin, maka dia bukanlah daripada golongan Rasulullah (umat Islam). Bahkan, Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang hanya mahu menghabiskan seluruh siang dan malamnya untuk hanya beribadah dan tidak mahu berkahwin. 1 hadith juga yang boleh dikongsi.

“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.”(Hadith riwayat At-Tabrani)

Suka duka perkahwinan itu salah satu lumrah pengisian hidup. Gembira bersama, sedih pun mesti bersama. Apa yang dibuat isteri, dibuat juga oleh suami. Apa yang dibuat suami, itu jugalah yang dilakukan isteri. Berjalan beriringan berpimpin tangan. Bercerita dan berkongsi pengalaman. Bergurau senda dan bergelak tawa. Ingat sambil mengingati. Hormat saling menyayangi. Duduk sama rendah, berdiri pun sama tinggi. Sakit si suami, si isteri juga merasai, ibarat cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Angau si isteri mengenang si suami, rindu si suami mengenang si isteri. Aduhailah jiwa, indahnya perkahwinan bila dihambat cinta Allah.

“Kahwinkanlah orang-orang yang masih sendirian di antara kamu, sesungguhnya Allah akan memperbaiki akhlak mereka, meluaskan rezeki mereka dan menambahkan keluhuran mereka.”(Maksud Hadith)


Perkongsian di alam perkahwinan membawa bahagia. Rasulullah pernah berkongsi dengan A’isyah sebuah cawan untuk minum. Di mana letaknya bibir A’isyah, di situ jugalah bibir Rasulullah menghirup air. Begitu juga kisahnya bagaimana Rasulullah membantu A’isyah di dapur, membuat kerja-kerja rumah dan sebagainya. Sikap tidak membebankan seperti Rasulullah menjadi contoh kepada setiap pasangan. Rasulullah pernah menjahit jubahnya sendiri tanpa meminta pertolongan isterinya. Tidak meminta, apatah lagi mendesak. Diceritakan juga, Rasulullah pernah pulang ke rumah dalam keadaan lapar, tetapi mendapati makanan belum siap dimasak. Lantas baginda menyinsingkan lengan jubahnya menolong isterinya menyiapkan makanan. HEBAT.. Lelaki itukan dianugerahkan dengan tenaga yang lebih. Apa salahnya disumbangkan buat si isteri sebagai perencah istimewa, supaya bertambah-tambah pula seri hubungan dua merpati sejoli.

Mencium isteri, memangkunya, memeluknya, meletakkan kepala di atas ribanya menjadi tabiat yang sepatutnya. Isteri itu adalah anugerah teristimewa. Bukan sekadar isteri, bahkan dialah permata hati laksana ibu penyayang, teman karib, pembantu setia, rakan sekerja, penyokong kuat dan juga penasihat kepada sang pelupa (suami). Begitu juga sang suami, peranan dan tugasnya adalah sama, bahkan lebih lagi sebagai ketua laksana orang kuat, pemimpin berwibawa dan idola bagi sang pedamba (isteri).

Sang suami dan isteri itu sentiasa ke mana sahaja bersama, tidak ubah ibarat belangkas. Dilepaskan sayang, ditinggalkan rindu, apatah lagi dijauhkan. Perkahwinan ini menjanjikan kesempurnaan. Saling melengkapi, saling mencukupi dan saling memperbaiki. Saya cukup berbangga jika institusi kekeluargaan itu dilandaskan dengan iman dengan taqwa. Saling percaya merpercayai, saling membuat kebaikan dan saling bertolak ansur. Malah mempraktikkan setiap perkara bersama dengan bersolat jemaah, berdoa, bertaddarus al-Quran, berdiskusi, bertazkirah dan sebagainya.

Di bawah ini, disertakan doa pengasih. Buat amalan bagi yang hendak dan akan berkahwin, begitu juga yang sudah berkahwin.

اللهم حبّب عبدك هذا الى عبادك المؤمنين وحبّب الى المؤمنين

"Ya Allah,jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman,dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman"

Semoga perkahwinan itu membuahkan bait-bait rasa keindahan yang berterusan dan terkesan hingga ke dasar QALBU.

“Ku Mencintaimu Kerana Agama Yang Ada Padamu..Jika Kau Hilangkan Agama Dalam Dirimu Maka Hilanglah Cintaku Padamu..."

[+/-] Show Full Post...


Mulai hari ini dan saat ini dengan rasminya, penulis ingin menukarkan kata ganti diri penulis kepada saya. Manakala pembaca pula ditukarkan saudara dan saudari. Kata ganti ini sudah cukup menggambarkan dekatnya saya dengan saudara dan saudari. Apabila kita berkata dengan orang yang berada di hadapan kita, apakah ganti diri yang paling sesuai? Sudah tentunya saya dan saudara. Bukankah ia kelihatan manis dan sopan. Boleh juga gunakannya dengan panggilan ana dan anta atau anti. Tapi kita inikan melayu, kenapa tidak sahaja menggunakan bahasa sendiri yang sopan santun ini. Mungkin boleh dikatakan juga menjaga adab dan ikhtilat. Manalah tahu kalau digunakan saya atau saudari membuahkan bait-bait yang tidak sepatutnya. Kalau digunakan saya dan saudara, ada pula yang loya termuntah-muntah. Maka relevenlah jika menggunakan ana dan anta atau anti. Saya sendiri juga menggunakan ana dalam dialog dengan beberapa sahabat.

Tetapi isunya sekarang adalah, saya dengan rasminya akan menggunakan saya sebagai ganti diri supaya penulisan saya ini menjadi lebih dekat buat saudara dan saudari. Penulisan yang dekat dengan pembaca adalah apabila ia mampu menghasilkan interaksi yang begitu menarik. Penggunaan saya ini sememangnya padan dengan mana-mana penulisan. Kita mahu pembaca berinteraksi dengan kita, tetapi kita begitu jauh sekali dengan gelaran diri yang terlalu jauh. Bukankah itu satu kesilapan. Jadi, hari ini saya sendiri akan memperbaiki kesilapan ini. Biarkan diri kita ini seolah-olah kita sedang berada dihadapan pembaca. Jadi, penulisan itu akan nampak telus dan berdaya. Tidaklah sayu atau menulis mengikut syok sendiri. Padahal pembaca sedikit pun tiada minat.

Di samping itu, saya juga akan memberikan tip-tip berguna dalam penulisan. Al-maklum sahaja, kita sama-sama dari dunia penulisan. Apalah ada pada ilmu kalau tidak disampaikan, dan apalah gunanya penyampaian kalau tidak diamalkan. InsyaAllah, hari-hari mendatang ini kita hiasinya dengan bait-bait kata yang penuh makna dan berguna. Mudah-mudahan kita beroleh manfaatnya juga.

[+/-] Show Full Post...



Sila muat turun



Seminar ini buat julung-julung kalinya diadakan bersempena dengan Pesta Buku dan Penulisan 2009. Ia diadakan seiring dengan Pesta Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 2009.

Ia diadakan berdasarkan butiran berikut :
  • Tarikh : 10 Oktober 2009 (Sabtu)
  • Tempat : KAED Auditorium, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Masa : 8.30 pagi hingga 6 petang

Akademi Penulis akan berkongsi maklumat bagaimana hendak menghasilkan sebuah karya popular yang mampu menjadi karya terlaris dalam pasaran. Seminar ini akan dikendalikan oleh dua orang jurulatih berpengalaman iaitu En. Fauzul Na'im Ishak, Pengurus Besar Penerbitan Kumpulan PTS merangkap jurulatih utama Akademi Penulis dan saudara Zamri Mohamad, jurulatih kanan di Akademi Penulis.

Pengisian yang akan diberikan adalah :
  • Motivasi Penulis : 5P : Formula Menjadi Penulis Bestseller
  • Bagaimana Menjaga Hak Cipta dan Hak Penulis
  • Teknik Penulisan Berkuasa Tinggi : KJ Metode
  • Bagaimana Memasarkan Buku Cara Berkesan

Yang lebih menarik adalah, seminar ini mengenakan yuran yang minima dan menarik. Hanya RM 250 untuk orang awam dan RM 150 untuk para mahasiswa dan pelajar. Tempat adalah terhad. Buat masa ini masih ada lagi kekosongan buat Tuan. Bertindak sekarang!!

Sila layari http://bukudanpenulisan.blogspot.com yang dianjurkan pihak Akademi Penulis Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Unite Event.

[+/-] Show Full Post...

6:26 PM

Bulan Rejab



Sama-samalah kita ingat mengingati amalan-amalan mulia yang penuh berkat ini.

Pada 24 Jun 2009 (Rabu) kita memasuki bulan Rejab. Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda, "Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:"
  1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt
  2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab /Isra Mi'raj (Isnin, 20 Julai 2009) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa
  3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt
  4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari iaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (24, 25, 26 Jun 2009) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat
  5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah
  6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga
  7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya."
Sabda Rasulullah saw lagi :"Pada malam Mi'raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as "Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?"

Maka berkata Jibrilb as "Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau di bulan Rejab ini."

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :"Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau "Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?" Lalu beliau bersabda "Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka."

Sabda beliau lagi "Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur." Tsauban bertanya "Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?"

Sabda beliau "Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun."

[+/-] Show Full Post...

Lama sungguh jari-jemari ini tidak menulis pantas di atas kepingan bernama keyboard. Begitu lama sampai blog ni hampir2 terbiar tanpa penghuni. Nasib baik tak tumbuh lalang je.. Apapun 2 hingga 3 hari kebelakangan ni, penulis berjaya meng'update' blog lain yang mana penulis sendiri adalah ADMINnya. Faqih Synergies dan Konsert Gamis. Alhamdulillah, tak sia2 pengorbanan selama 3 hari tersebut. Oleh yang demikian, tak dilupa juga untuk update blog ini yang di'modified' sepenuhnya oleh penulis sendiri..

Mana tahan, blog lain update, tapi blog sendiri terbiar terkapai2. Sedih kepada yang mengunjung, hampa bila isinya tak di'update'. Dek masa yang membataskan, blog ni tak mampu untuk menjadi seperti dahulu, diupdate setiap minggu. Tetapi dek usaha yang bersungguh serta idea yang mencurah2, blog ni akan berseri semula seperti sediakala, insyaAllah. Buat tatapan pelawat serta pengunjung, penulis mempersilakan untuk masuk ke link2 di atas, di mana penulis sendiri terlibat secara langsung. 4 pautan web yang yang memberi input2 berguna. Dan insyaAllah, akan bertambah lagi dengan kemunculan website ProInside Enterprise.

Sebelum mengakhiri kata, silalah berkunjung di sini untuk melihat galeri Faqih Synergies Training & Consultancy.. Wassalam.

[+/-] Show Full Post...


Jumaat - 9 Januari 2009 bersamaan 12 Muharam 1430, tarikh perhimpunan NGO seluruh lembah klang bagi demonstrasi Palestin di kedutaan Amerika Syarikat. Perhimpunan ini menyatakan kebencian kesumat terhadap rejim zionis di atas perbuatan melampau dan tidak berperikemanusiaan mereka terhadap rakyat Palestin. Ia juga bagi menyatakan bantahan terhadap pembunuhan yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lemah dan tidak mampu melawan. Perbuatan kejam zionis terhadap orang Islam Palestin, bahkan seluruh rakyat Palestin amnya patut dihentikan. Tindakan kejam ini seolah2 memperlekehkan hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat Palestin. Hak tanah Palestin cuba dirampas oleh Yahudi untuk kepentingan mereka. Justeru, perhimpunan ini juga cuba memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia agar memboikot segala pertalian dengan Amerika Syarikat dan Israel, baik sama ada barangan, mahupun perdagangan atau sebagainya.


    Di sebalik perhimpunan

Penulis sendiri menghadiri perhimpunan demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat di Tabung Haji. Di sebalik perhimpunan yang membakar semangat untuk membela nasib rakyat palestin, terdapat lagi mereka yang begitu pentingkan diri. Oleh kerana penulis bersolat Jumaat di Tabung Haji dan terlewat datang, maka dapatlah saf belakang yang berada di luar dari ruang utama. Duduklah di bahagian lantai yang tiada sejadah dihamparkan, tempat yang biasa dilalui pejalan berkasut. Disebabkan ini kali pertama bersolat di luar, rasa tak selesa dan senang hati menyelubungi diri. Terdetik dalam hati “macam mana orang lain boleh selesa duduk di luar ni? Pelik betul. Sudahlah duduk di atas lantai, berdebu, sudah berapa banyak tapak kasut yang lalu di situ pun tak tahu. Mungkin berjuta-juta.” Bermacam-macam perkara yang tak selesa berlegar-legar di minda. Tak lama kemudian, datanglah berpusu-pusu lagi orang lain setelah azan pertama. Berbondong-bondong membawa sekali dengan sejadah masing-masing. Setelah 10 minit kemudian pun masih ada lagi terkiyal-kiyal baru sampai. Teruk betullah orang melayu ni, mentang-mentang ada sejadah sendiri. Hendak datang solat Jumaat pun boleh suka-suka hati pukul berapa. Katakanlah solat Jumaat mula pukul 1.30, mungkin waktu itu dia datang, bukannya di waktu khutbah. Malang sungguh…

    Sakit hati

Terkilannya hati ini bila tiada seorang pun sudi membentangkan sejadah di samping penulis. Nasib baik ada jaket dibawa sekali, dengan jaket itulah penulis bentangkan untuk menunaikan solat. Apakan daya, itulah yang ada untuk dihamparkan. Korbankan jaket kotor sedikit untuk menunaikan solat. Lebih menyakitkan hati apabila tiba masa untuk bersolat Jumaat, masing-masing tidak berganjak dari sejadah masing-masing untuk ke saf hadapan. Saf kelihatan begitu lompong disebabkan saf yang tidak rapat. Apa tidaknya, seorang satu sejadah. Lebih menyedihkan ruang disebelah penulis dibiarkan kosong kerana tiada siapa pun mahu ke hadapan. Tak sanggup mereka melepaskan sejadah mereka untuk sementara waktu, dipinjamkan untuk kegunaan orang lain. Ini menunjukkan mereka terlalu sayangkan harta yang tak seberapa, apatah lagi mengorbankan jiwa dan raga untuk Islam. Jauh pangggang dari api. Mereka ini boleh penuliskan ertikan sebagai DAYUS. Perasaan marah yang meluap-luap terpaksa ditahan-tahan. Solat Jumaat yang ditunaikan pun kurang kusyuk disebabkan terlalu memikirkan orang yang sebegini. Aduhai..ampunkanlah mereka ya Allah..

    Biadap

Selesai sahaja solat, imam menyatakan hasrat untuk bersolat hajat demi rakyat Palestin. Ramai pula orang berpusu-pusu untuk keluar dari ruang solat sedangkan pada waktu yang sama orang lain sedang menunaikan solat hajat. Keluarlah mereka berjalan di hadapan orang yang sedang bersolat. “Biadap sungguh”, itulah unggapan yang boleh penulis ucapkan dalam hati. Apalah salah kiranya kalau menunggu sebentar untuk bersolat bersama-sama. Apa yang nak dikejarkan sangat pada perkara yang takkan lari. Tak lari gunung dikejar. Kebiadapan mereka ini menyebabkan ramai yang lain membatalkan niat untuk bersolat hajat bersama. Dek terlalu ramai orang lalu di hadapan mereka, membuatkan hati mereka tak senang untuk bersolat, itulah andaian penulis. Kalau penulis sendiri pun akan melakukan sebegitu, buat apa hendak solat sedangkan ada orang berjalan di hadapan kita. Seolah-olah solat kita dihina, solat kita tak dihormati oleh orang yang berjalan ini. Mujur penulis berada di saf belakang orang yang bersolat. Dapatlah menunaikan solat hajat bersama.

    Pentingkan diri

Inilah sikap sebahagian rakyat Malaysia, tidak silap penulis orang sebegini bukanlah di kalangan yang membuat demontrasi. Sebabnya tiada seorang pun yang berdemontrasi membawa sejadah. Ini jelas membuktikan orang yang pentingkan diri ini terdiri dari staf-staf tabung haji atau syarikat di sekitar tabung haji. Sungguh memalukan. Sikap orang yang mengaku Islam, tetapi menidakkan cara dan akhlak sebagai seorang muslim. Ucaplah berapa banyak perkataan berjuang, tiada maknanya sekiranya untuk berkorban sedikit pun tidak sanggup. Tiada perjuangan kalau tak disusuli dengan pengorbanan. Kalau inilah sikap ramai di kalangan umat Malaysia, maka kita tak akan ke mana. Kita takkan mampu untuk bergerak jauh dan lebih jauh lagi. Kita tak sanggup untuk berkorban, kita tak sanggup berkongsi, kita tak sanggup memberi, apatah lagi nak berjuang. Apa ada pada kita yang pentingkan diri? Syok sendiri yang tidak memberi apa2 erti dan makna. Kalau sekarang orang ramai rancak memboikot AS dan Israel. Penulis BOIKOT ORANG MELAYU... Melayu yang pentingkan diri. MELAYU PENTINGKAN DIRI SENDIRI...

[+/-] Show Full Post...

“Ai..geramnye. ikutkan hati lumat je aku kerjakan.” (kejamnye)

Tengah2 saat kecemasan, menunggu panggilan dari pelanggan. Saat itulah handset yang sudah lama dalam jagaan buat hal. 'Jam' sahaja memanjang, di saat kecemasan pula ia buat hal. Macam tahu-tahu sahaja ada kecemasan. Sebelum ini, itulah handset yang paling disayangi, calar sedikit pun tidak boleh, jatuh lagi-lagilah tidak boleh. Handset itu jugalah yang digunakan untuk buat panggilan dan mesej . Itu jugalah handset yang dibelek tiap-tiap hari. Itu jugalah handset yang ditatap tiap-tiap hari. Aii..alangkah sayangnya kita pada si dia.

Tapi bila tiba-tiba sahaja dia buat hal, kita pun naik geram. Rasa nak baling sahaja jauh-jauh, mahu dicampak sahaja ke dalam sungai atau di atas jalan. Kalau ada tukul atas tangan, mahu sahaja diguna mengetuk handset ini sampai pecah-pecah, lumat-lumat pun tak mengapa. Geram betul, berapi betul rasanya. Hilang sungguh kesabaran yang dididik selama ini. Tapi...



Tinggg.. terngiyang di minda. Ada satu siren amaran sudah berbunyi. Katakanlah handset yang selama ini kita jaga dengan penuh kasih sayang itu adalah ibu bapa kita, adik beradik kita, mungkin juga datuk nenek kita, ataupun mungkin juga pasangan kita (sapa yang dah kahwin ja no). Aduhhh… berbisa sungguh tikaman sembilu yang menghiris ini. Tertusuk-tusuk menikam kalbu. “Ada orang kata, mana boleh samakan orang yang kita sayang dengan benda-benda. Tak masuk dek akal.” Siapa kata kita tidak boleh samakan? Memang benda-benda itu manusia yang buat, tak bernyawa pun, tiada perasaan pun. Tapi ia adalah benda yang berjasa pada kita. Sekurang-kurangnya kita menghargai apa sahaja benda yang ada di depan kita, termasuklah binatang dan bukan hidupan. Kesabaran terhadap benda-benda seperti inilah yang akan mengajar dan mendidik kita agar lebih bersabar. Bersabar terhadap kerenah orang-orang yang berada di hadapan kita. Hendak menghadapi kerenah manusia adalah lebih perit dari menangani kerenah benda tidak bernyawa. Kalau dengan benda tidak hidup kita tak mampu nak bersabar, apatah lagi keranah manusia yang lebih besar. Haazaa mustahiilun..

Ada orang lain pula berkata, “aku boleh je sabar dengan orang yang aku sayang”. Memanglah boleh, sebab dah sayang, cuba kalau dah tak sayang. Asyik buat hal sahaja, menyusahkan lebih banyak dari menyenangkan. Pasti sudah kena penyepak agaknya. Padahal, mungkin orang yang kita sayang sudah banyak berjasa pada kita sebelum ni. Kesabaran ini hennak dipupuk tidak boleh dengan perkara-perkara yang besar terus, tetapi perlu dipupuk dari perkara asas dan kecil terlebih dahulu. Kalau akar tak kuat, masakan batang boleh berdiri tegak. Perkara asas itu menjadi tunjang dalam setiap aspek dan perkara. Tinggi manapun sebuah bangunan, kalau kakinya tirus, akhirnya tumbang ke tanah jua.

Sebut berkenaan kesabaran, tidak boleh sekadar sebut sahaja. “Aku sabar orangnya, penyabar yang sentiasa dalam jalan kesabaran.” Bagus punya ayat, tapi habuk pun tiada. Cuba kenang balik kisah-kisah lampau. Contohnya hilang duit, paling tidak terlanggar batu sahaja. Habis batu itu disumpah seranah, padahal diri sendiri yang melanggar batu. Batu yang tidak bersalah dan tak tahu berjalan itu pun yang menjadi mangsa maki hamun. Kasihan sungguh si batu. Entah-entah batu itu sumpah seranah kita balik sebab melanggar dia. “Buta ke? “ kata si batu. Camtulah alkisahnya. Kalau kita mampu bersabar terhadap perkara-perkara remeh temeh, insyaAllah kita mampu mempertingkatkan kesabaran kita. Tidak begitu? Benda remeh temeh, apalah yang hendak dipedulikan sangat. Biarkan sahaja, abaikan, buat tidak tahu. Kalau orang langgar kita tidak minta maaf pun, kita buat-buatlah tidak perasan, buat dono sahaja. Maafkan sahajalah kesalahan dia dalam hati. Apalah yang nak disusahkan, pi tengking atau marah dia. Buat sakit tekak sahaja. Hidup ini sentiasa dalam kegembiraan kalau kita ni orang yang bersabar. Alangkah nikmatnya bersabar..

Berbalik pula pada kisah handset tadi, akhirnya disebabkan siren yang mengganas. Penulis sendiri telah menyimpan semula handset tersebut. Tak jadilah hendak dicampak, pergi ke kedai, keluar duit sedikit dan terus membaikinya. Alhamdulillah, sekarang sudah tidak buat hal.. berkat kesabaran yang tinggi, jitu lagi persis.. (“,)..Wallahua’lam…

[+/-] Show Full Post...


Penulisan ini disunting dari temuramah dengan Tun Dr Mahathir. Mantap Dr Mahathir ni, walaupun sudah tua, bahasa kasarnya sudah nak nyanyok tapi pemikirannya tetap masih pada tahap “High Quality”.

Berikut adalah temuramahnya…

Semua umat manusia mengetahui mengenai keganasan yang dilakukan oleh Israel tetapi apa yang boleh kita dilakukan?

Dr Mahathir :
Tindakan jangka pendek, kita perlu bertindak untuk memboikot penyokong kuat Israel iaitu AS kerana tanpa AS, Israel tidak boleh bergerak dan jika tidak ambil tindakan terhadap AS, segala usaha kita akan gagal, boikot AS dan cara bertindak ialah dengan tidak menggunakan dolar AS untuk urusan perdagangan.

Kedua, negara2 Arab mempunyai banyak rezab dalam dolar AS dengan membeli bon dan ia sama seperti memberi hutang kepada AS. Tindakan boikot seterusnya ialah negara2 Islam patut berhenti membeli bon dengan AS kerana AS sebenarnya negara bankrap yang tidak ada lebihan dalam bajet dan perdagangan. Duit Negara Arab itulah yang digunakan untuk mengeluarkan senjata bagi membunuh orang Palestin. Jadi sebenarnya orang Arab yang membekalkan senjata kepada AS dan Israel untuk membunuh orang Arab kerana mereka menyimpan dolar AS yang digunakan untuk membiayai pembelian senjata dan pembangunan senjata yang digunakan oleh Israel. Kita Negara Islam sepatutnya tidak menyimpan dolar AS.

Ketiga, kita boikot barang2 AS, ia sukar dilakukan kerana ada barang yang amat diperlukan oleh kita tetapi kalau hendak boikot tentukan senarai tertentu, saya diberitahu selatan Thailand penduduk tidak minum Coca Cola, ia satu tindakan kecil tetapi kalau seluruh dunia Islam tidak minum Coca Cola ia memberi impak yang besar. Umat Islam tidak akan mati jika tidak minum Coca Cola. Begitu juga pisang kaki dari Singapura. Ia produk Israel yang diimport oleh Negara itu sebelum dijual ke Negara kita.

Tetapi bagaimana hendak menarik umat Islam dan Negara Islam berbuat demikian, apa medium yang hendak digunakan bagi menyatukan mereka memboikot AS?

Dr Mahathir :
Negara2 Islam tidak berani bertindak, yang boleh bertindak ialah rakyat, sebahagian sahaja yang berani berdemonstrasi tetapi kalau betul2 ikhlas untuk tolong Palestin dan umat Islam keseluruhan, orang Islam perlu boikot barang AS. Kita ada 1.3 bilion umat Islam dan kalau 20 peratus memboikot pun sudah cukup memberi kesan.

Selain itu apa lagi tindakan tegas yang boleh dilakukan?

Dr Mahathir :
Sudah pasti ada cara, cuma nak atau tak nak sahaja. Saya sudah lama katakan jangan guna dolar AS. Kalau kita tidak menggunakan mata wang tersebut, ia akan jatuh nilai kerana permintaan berkurangan tetapi kalau ada permintaaan, ia ada nilai. Maka umat Islam perlu boikot daripada menggunakan dolar AS agar mata wang itu tidak akan ada nilai dan AS akan jatuh miskin, tidak boleh buat senjata dan tidak mampu untuk membiayai pangkalan tenteranya di seluruh dunia.

Pilihan apa yang ada untuk menghentikan kezaliman Israel?

Dr Mahathir :
Boikot. Kita boleh kaji apa yang perlu diboikot, buat secara teratur dan terancang barulah berjaya. Dulu saya suruh beli MIG dari Rusia kerana tidak mahu bergantung dengan AS, kita ada MIG orang takut juga, masalahnya buat apa nak beli barang AS.

Buatlah sesuatu yang akan memberi kesan kepada AS, kita mempunyai sumber iaitu minyak , duit dan orang Islam di AS boleh menjadi pengundi penentu dalam pilihan raya Presiden seperti orang Yahudi kalau mereka bersatu.

Bagaimana dengan OIC, apa yang pergerakan itu boleh lakukan?

Dr Mahathir :
OIC tidak boleh lakukan apa2 begitu juga Negara Islam, yang boleh lakukan sesuatu ialah umat Islam.

Tidakkah Liga Arab boleh melakukan sesuatu bagi memberikan tekanan kepada Israel?

Dr Mahathir :
Banyak Negara Arab dikuasai oleh AS dan bergantung kepada AS dan secara psikologi mereka memandang tinggi terhadap orang putih. Kalau kita ada barang dan orang putih ada barang yang sama, mereka tidak pilih kita tetapi pilih barang yang dikeluarkan oleh orang putih tersebut.

Di Negara2 Arab, jururawat dari Britain diberi gaji yang cukup tinggi, jururawat dari Britain diberi gaji yang cukup tinggi, jururawat di Malaysia hanya dapat gaji kedua tertinggi dan orang Filipina dapat gaji ketiga tinggi.



Adakah kemungkinan Israel tidak akan melakukan apa2 ke atas Palestin kalau Hamas dan penduduk Palestin berdiam diri atau tidak bertindak balas?

Dr. Mahathir :
Seronoklah AS dan Israel. Mereka akan merancang untuk memperkukuhkan tentera. Mereka tidak akan berdiam diri.

Adakah keganasan yang berlaku di wilayah Palestin akan berakhir sekiranya gerakan Hamas akan dihancurkan?

Dr Mahathir :
Hamas tidak akan hancur. Ada orang Arab lain yang akan bertindak (jika perkara itu terjadi). Hizbullah belum lagi bertindak dan ada banyak lagi kumpulan di Syria.

Bolehkah Negara Islam melakukan perkara yang sama seperti di Bosnia dengan membekalkan senjata kepada penduduk Palestin?

Dr Mahathir :
Pada asasnya di Bosnia, kita telah pun ada di sana di bawah panji PBB, dengan jumlah tentera yang besar dan apabila PBB tidak mahu menaja tentera pengaman, Malaysia gunakan duit sendiri. Ia berkesan membantu orang Islam di sana lagipun orang Serbia tidak mendapat sokongan daripada AS.

Adakah kekejaman Israel dan AS ini akan berakhir?

Dr Mahathir :
AS sentiasa merancang dan sekarang ini merancang perang di angkasa, senjata bari AS sekarang semuanya tidak menggunakan manusia, ia dikawal dari jauh, tentera pula dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti melawan tentera yang mempunyai kuasa Superman, inilah yang sedang dibangunkan oleh AS. AS tidak ada fikir lain, asyik hendak bunuh orang sahaja.

Apakah ada harapan untuk pendamaian dicapai dalam tahun 2009.

Dr Mahathir :
Terlalu tipis. Cuma tumpuan Yayasan Anti Peperangan Kuala Lumpur sekarang ialah membangkitkan kesedaran untuk mengharamkan peperangan. Setakat ini, kita mendapat sokongan termasuk dari AS dan harapan kita biarlah desakan untuk mengharamkan perang ini semakin besar.



----------------------------------------------------
BOIKOOOTTTT...boikot apa sahaja yang ada kena mengena dengan AS. Inilah jalan yang kita ada selain doa untuk membantu saudara Islam kita di Palestin. Kalau sekadar berteriak “aku benci zionis, go to hell zionis, hancur Israel, dan macam-macam lagi.. apalah impak atau output yang dihasilkan. Hanya mampu bersuara, tetapi tidak mampu membantu. Inilah jalan kita untuk berjuang. Berjuang untuk meninggalkan apa sahaja berkait dengan AS dan Israel, sama ada barang, mata wang atau sebagainya. Inilah jalan kita bagi umat Islam.. UMAT ISLAM..

[+/-] Show Full Post...

1:29 AM

Ma’al Hijrah




Perutusan dari penulis…,

Ehm2,.. penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca-pembaca yang selama ini sudi membaca nukilan-nukilan blog ini yang tak seberapa. Langkahan yang kecil ini cuba digerakkan untuk membina langkahan-langkahan yang panjang dan berbisa (insyaAllah suatu hari nanti, doa-doakanlah agar dipermudahkan). Buat masa ini, dengan nekad tahun baru moga-moga ia membawa erti dan makna yang persis lagi jitu. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Berkat tahun baru segala-segalanya bertukar baru. Ini bukan langkah permulaan, tapi langkah sambungan peningkatan demi peningkatan, penambahbaikan demi penambahbaikan.. Bersamalah kita melangkah, membina apa yang patut dibina, menyiapkan apa yang patut disiapkan, membaiki apa yang patut dibaiki, segala-galanya berpaksikan redha Ilahi.. SALAM MA’AL HIJRAH 1430 H..

Ni perutusan dari Hj Ismail b Hj Ahmad…,

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 Hijrah kepada semua umat Islam daripada DuniaHerbaHPA.com. Mari kita bermuhasabah kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang lalu. Semoga tahun baru yang akan datang ini akan membawa perubahan yang lebih baik kepada diri kita.

Kami berharap akan lebih ramai lagi umat Islam akan bersama-sama menyertai perniagaan HPA. HPA bukan sekadar tempat untuk mencari keuntungan tetapi ia adalah suatu perjuangan umat Islam dalam mengenengahkan produk HALAL Muslim dipasaran. Mari Bermuamalah Bersama Kami.

“Produk Halal Menjadi Nadi Perjuangan Dan Rezeki Yang Diberkati ALLAH, Menjadi Garis Panduan Perniagaan Kami. Amin.”

[+/-] Show Full Post...