Membayang dan memikirkan ciptaan-Nya..
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..
Image Hosted by ImageShack.us
11:19 PM

18 November


Perjalanan program sama seperti hari sebelum ini, cuma ada cerita menarik dan tertariknya di sebalik tarikh ini. Saya bertindak seperti biasa, ambil gambar, beri kertas dan dengar ceramah sekali sekala. Sebelum waktu makan tengahari, cik Hurul Ain mengumumkan, “Memandangkan tarikh lahir En Abdul Qahhar adalah hari ini, sila nyanyikan lagu ‘birthday’ untuknya, 1, 2 mula. Happy birthday to you,….”. “Hah”, terkesima saya sekejap. Malu pun ada. Segan dibuatnya. “Sah dia tahu dari facebook”. Masa itu, saya hanya mampu tersenyum memanjang dan mengucapkan terima kasih. Tidak sangka orang Brunei meraikan orang sebegitu.

Ada peserta yang bertanya kepada saya, “Hari lahir yang ke berapa?”. “Yang ke 24 tahun”, beritahu saya. “Eii, mudanya, rasa macam sudah 30-an. Macam je”. “Ohh, macam je, bukan betul-betul pun“, jawab saya. Ada juga yang menyambung, “La, adik rupanya”. Bangga saya, ada orang anggap saya matang. Seorang peserta yang agak berusia datang kepada saya, “Anak saya pun ada sebaya dengan Qahhar”. “Iye puan? Tak sangka saya”. “Panggil saja saya mami, ada dulu staf PTS datang ke sini, dia panggil saya mami”. “Oh ye?, terima kasih mami”, terus sahaja dialog saya bertukar dengan memanggilnya mami. Kemudian datang seorang peserta wanita mengambil gambar saya. Katanya untuk dimasukkan dalam facebook. Hmm, makin popular saya sejak dari hari itu. Tetapi rasanya, sayalah orang termuda yang ada di bengkel ini. Tetapi rasa kekok atau janggal itu jauh sekali.


Ambuyat

Malamnya, kami dijemput Puan Aminah, Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka. Yang hebatnya, dia menjemput kami bersama 2 orang anak dan suaminya. Terharu kami melihatnya. Kami makan malam di Medan Selera Terindak. “Di sana juga makanannya enak sekali bah”. Terutamanya “ambuyat”. Saya dan En Fauzul seperti biasa, makan apa yang ada. Sebabnya adalah satu, percuma. Kalau tidak makan, memang rugi. Membiarkan rezeki depan mata hanya dimakan orang lain. Mana boleh. Kata En Fauzul, “Rezeki hang la ni, sempena ‘birthday’ di Brunei. Terfikir saya, rasanya inilah kali pertama dihidangkan makanan sebegini di ulang tahun hari lahir saya. Sebelum ini, saya sendiri tidak pernah menyambutnya. Boleh lupa tarikh lahir sendiri adalah. Kali ini agak luar biasa, memandangkan saya ada 2 facebook, bertalu-talu ucapan selamat hari lahir diucapkan. Rasa seperti doa-doa yang diucapkan masuk menusuk qalbu. Itulah dia, di dunia Brunei. Al-kisahnya di sebalik tarikh keramat.


[+/-] Baca Lagi...


Malam kedua ini kami dijemput untuk berjalan-jalan di sekitar Bandar Seri Bagawan. Cik Hurul Ain menjemput kami dengan sebuah van besar di Hotel Grand City. Lama kami menunggu, lebih dari setengah jam. Dalam diam menunggu kami memerhatikan pengunjung dari Malaysia di lobi Hotel Grand City, di antaranya Dr Syarifah Hayati, Ustaz Mohd Farid Ravi dan Hafiz Hamidon. Semuanya bersiap-siap untuk keluar, barangkali ada Forum Perdana di Brunei. Kami hanya sekadar memerhati dari jauh gelagat mereka. Seolah-olah seperti tidak kenal pun.


Bermula perjalanan malam itu, kami dibawa ke Kampung Air untuk menikmati masakan Brunei. Tempat yang kami kunjungi dikenali sebagai “momok kafe”, sebabnya adalah kubur yang berhampiran di sini. Agak menyeramkan, tetapi bukan bagi sayalah. Kami dijamu seterusnya, enak sungguh masakannya, sampai saya lupa apa makanan yang dipesan (asing sungguh nama masakannya). Yang penting, saya sekenyang-kenyangnya malam itu. Kami dihidangkan pelbagai makanan, semuanya dibayar oleh Cik Hurul Ain, baik sungguh hati orang Brunei ini.


Kemudian dibawa pula ke sekitar Bandar Seri Begawan. Saya lihat dari sudut jalan, bangunan, perparitan, semuanya kelihatan teratur. Ringkas, lapang dan selesa mata memandang. Susah saya hendak bandingkan dengan mana-mana bandar di Malaysia. Cukup cantik dan tersusun di sini.


2 masjid yang sempat saya lawati. Cukup-cukup menawan, tetapi tidak boleh diambil gambar di dalamnya. Saya cuma sempat bergambar di luar sahaja. Melihat persekitaran, tempat wudhuk, isi dalam setiap ruang masjid. Terdapat juga 1 ruang lama yang masih dikekalkan yang saya kira sangat-sangat cantik di masjid Omar “Ali Saifuddien.


Apa yang sangat menarik lagi adalah sebuah masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah di mana kubahnya dibuat dengan emas tulen. Hampir 5-7 kubah yang paling besar termasuk setiap kubah menara masjid.


Saya perhatikan juga bangunan-bangunan di bandar ini, tiada 1 pun bangunan petak-petak seperti di Malaysia. Bangunannya mempunyai seni reka bentuk yang unik dan Islamik. Syarat binaan bangunan di sini pun sangat unik, tidak boleh tinggi dari menara masjid. Risiko untuk orang terjun bangunan, saya jamin memang tiada.


Kemudian kami lawati pula istana Negara yang sangat besar berbanding istana ayahanda Sultan Hassanil Bolkiah. Kecilnya lebih kurang seperti rumah banglo zaman dulu. Berbanding dengan istana yang baru ini, sangat besar siap dengan pengawal keselamatan. Geli hati saya melihat 2 orang pengawal yang terpacak di pintu utama. Kalau saya, 10 minit sahaja sudah tentu pitam. Istana ini didiami hampir seratus lebih orang yang bekerja hanya di istana. Saya terfikir, “apalah kerja yang dibuat di dalam tu, tak berbaloi betul, mungkin masa dihabiskan untuk menyapu sampah kot”. Tetapi menariknya tentang sultan di sini, baginda berperanan sebagai perdana menteri dan menteri besar. Hinggakan bergerak ke sesuatu tempat pun hanya baginda yang memandu, tiada pemandu peribadi. Dan lebih hebat lagi, dengan cara ini, baginda boleh pantau keadaan Negara secara senyap-senyap. Banyak perubahan dilakukan, menteri lain jadi tidak senang duduk dengan tindakan sultan mereka sendiri.

Perjalanan diteruskan, kali ini hujan renyai-renyai dan kami pun tidak singgah ke mana-mana, sekadar melihat-lihat dari dalam van. Mata mengantuk dek terlalu banyak makan, saya hanya mendengar perbualan Cik Hurul Ain, En Eddy dan En Fauzul Naim. Sambil mendengar, sambil terhangguk-hangguk dibuatnya. Dalam hati, “ bilalah nak balik ke hotel ni, rancak sangat berbual depa ni”. Cik Hurul Ain membawa kami ke gerai untuk menempah nasi Katok. Terperanjat saya, “makan lagi ke?”. Tetapi tawaran itu tetap kami terima, makanan percumalah katakan. Saya rasakan, tidak pernah sempat pun kami ini berlapar sepanjang berada di Brunei. Cuma saya terselamat dari mangsa kegemukan. (“,). Kami dibawa pula berjalan-jalan lagi. Dalam perjalanan, saya tidak larat menanggung kelopak mata yang sangat berat. Tidurlah jawapannya dalam keadaan duduk. Jam 11.30, melihat saya seorang yang makin terhangguk-hanguk, cik Hurul Ain bawa kami ke hotel. Maka kami berangkat ke bilik, lalu menghabiskan nasi Katok sebelum tidur. Zzzzz

[+/-] Baca Lagi...


Teruja juga bila mendengar orang mengatakan Brunei itu Negara yang Islamik. Terdetik dalam hati saya “Bagus ni, mungkin perjalanan kali ni nampak menarik. Aku nak tengok apa bestnya ada di sini”. Saya tengok, intai-intai sekeliling hotel, malam pertama di Hotel Grand City, Brunei. “Tak nampak apa-apa pun”. Gelap gelita, jam 9 malam di brunei seolah-olah jam 10 malam di Malaysia. “Hmm, kalau macam ni, duduk di bilik sajalah”. Buka laptop, kemaskini maklumat tentang program. Siap sedia barang-barang yang hendak dibawa esok, kemudian kembali semula ke laptop untuk melayari internet. Rasa tenang di Brunei, tiada hiruk piruk seperti di Kuala Lumpur. Kalau di Kuala Lumpur malam pun hiruk piruk, di sini sangat berlainan. Tenang dan sangat mententeramkan.

Hari pertama di Brunei, subuh saya jadi lewat. Biasanya di Kuala lumpur, jam 5.30 sudah subuh, tetapi di Brunei seawal jam 5 pagi sudah masuk subuh, saya pula bangun jam 5.45 pagi. Dalam hati, “Ahh, sudah, lewat sangat ni”. Bangun, mandi, siap-siap dan terus solat subuh. Jam di tangan menunjukkan jam 6.15. Rasanya sempat juga saya solat subuh tadi. Saya mengintai pula di luar tingkap. “Haah”, sedikit terperanjat, rupa-rupanya sudah terang benderang di sini. Astagfirullah al-‘Azim…. Pengajarannya, solatlah diawal waktu.

Bersiap pula ke tempat bengkel, sebelum tu sarapan dulu di hotel. Kalau malam tadi saya dapat voucher $10 untuk makan malam, saya habiskan dengan makan nasi goreng ayam nestum dan jus ‘carrot’. Pagi ini tidak diberikan pula voucher, maka makan sajalah apa yang agak murah. Perjalanan ke Dewan Bahasa dan Pustaka pagi itu agak tenang. Tidak sesibuk di Kuala Lumpur. Sampai di Dewan Bahasa dan Pustaka disambut pula oleh staf-staf di sana, sambutan yang sangat ramah. Di bahagian pendaftaran, ramai pula staf-staf wanita, menyiapkan bahan-bahan bengkel peserta. Saya kira dalam 10 orang juga yang menyiapkan bahan. Saya keluarkan bahan-bahan dari Akademi Penulis untuk peserta. Dalam sekelip mata, semuanya siap disusun oleh staf di sini. Alangkah hebat, cepat sungguh tindakan mereka. Kagum sungguh saya dengan sikap mereka.


Saya perhatikan semua staf yang ada di sini, kebanyakannya wanita. Saya lihat semuanya berpakaian kontemporari, memang ‘up to date’. Dengan tudungnya yang berwarna warni, baju kebaya dan baju kurung bermacam fesyen. Boleh saya katakan, tiada seorang pun yang memakai tudung yang agak labuh, tetapi semunya menutup aurat. Pada mulanya, fikiran saya agak negatif. Tapi bila saya perhatikan betul-betul, hanya wanita muda sahaja yang begitu, pakaiannya pun agak sendat. Dalam hati saya mengatakan, jangan terus menghukum. Selepas waktu zohor, datang seseorang menghampiri saya. Saya sempat berbual dengannya iaitu seorang wanita yang saya kira paling cantik di dalam bengkel itu. Gulp.., terkedu saya sekejap. Sambil-sambil berkongsi cerita tentang dunia penulisan, dia meluahkan pernah berkarya untuk penulisan bertajuk kanak-kanak Islam. Menang pula nombor 2 dalam pertandingan. Dia rasakan pendekatan kanak-kanak juga boleh diterapkan untuk cerita tentang tokoh besar seperti Obama. Saya katakan, itu memang sangat menarik. Buat dalam bentuk cerita yang santai dan pendek-pendek. Kanak-kanak pun pun perlu didedahkan dengan tokoh-tokoh besar dunia. Lagi-lagi boleh dijadikan idola bagi mereka. Di lain masa, saya juga ada berbual dengan staf-staf lain. Yang sangat menarik, ada di antara mereka yang membaca Harakahdaily.net, kenal dengan Ustaz Dr Asri, Ustaz Dr Danial dan lain-lain. Bercerita juga bab-bab masyarakat dan agama. Saya dapat rasakan mereka ini memang sangat berpegang dengan agama. Barulah hilang perasaan negatif saya sebelum ini.

Ditengah-tengah waktu berbengkel, datang 2 orang pegawai Dewan Bahasa & Pustaka memanggil penceramah. Dalam fikiran saya, “Ai, macam nak tangkap orang saja ni”. En Fauzul Nai’im dipanggil untuk disoalsiat di bilik belakang. Dup dap dup dap, saya menunggu. En Fauzul Na’im keluar dan nama saya dipanggil, “Qahhar, hang pi jumpa pegawai tadi, depa nak jumpa”. “Ai, kenapa tetiba pula ni. Saya pun bergerak menuju ke bilik. “Nah”, duit dihulur depan saya. Sedikit terkejut “Nak bagi duit rupanya”. “Cuba Encik kira duit ni, cukup atau tidak?”, sambut pegawai itu. Saya kira-kira dan jumlahnya cukup. “Beres, wangnya cukup Tuan, terima kasih”, sambil saya menghulurkan salam. Terdetik dalam hati saya, “Bagus betul orang Brunei ni, kalau aku balik terus malam ni tinggalkan Brunei boleh saja. Duit pun dah dapat”. Duit yang saya dapat, saya simpan dan saya ceritakan hal itu kepada En Fauzul Na’im. Kami ketawa besar malam itu memikirkan kepercayaan tinggi orang Dewan Bahasa & Pustaka kepada pihak kami. Tidak pernah selama saya membuat bengkel dibayar tunai pada hari pertama. Aneh, pelik dan ajaib tetapi benar. Itulah dia ragam manusia.


Pulang dari bengkel pada hari pertama, saya sempat mengambil gambar-gambar sekitar Brunei. Paling menarik dalam diri saya ialah penggunaan tulisan Jawi di mana sahaja ‘signboard’ dan nama bangunan digunakan di setiap tempat. Pemandu yang membawa pulang kami mengatakan semua nama syarikat perlu ada tulisan jawi. Kalau tidak, nama yang disyorkan tidak akan diwartakan sebagai syarikat. Hebat. Saya fikirkan undang-undang di sini cukup bagus untuk memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Tidak perlu saya bandingkan di Malaysia, saudara saudari sudah pastinya maklum.

Pada hari kedua, saya sempat berbual dengan seorang lagi peserta bengkel. Menariknya, sistem pendidikan di sini bermula sejak umur 6 tahun lagi untuk darjah 1. Tup tap, anak-anak sudah boleh masuk universiti dalam usia 16 tahun jika dia cemerlang. Fuhh, saya rasa ini 1 keistimewaan yang patut dibuat di Malaysia. Cemerlang terus cemerlang, yang biasa pula ikut ‘standard’. Untuk bekerja kerajaan pula boleh masuk seusia 23 tahun. Sangat-sangat muda. Dunia ini perlu dikuasai oleh orang muda-muda. Bukan mahu kata orang tua itu tidak bagus, tetapi mempercepatkan tindakan dan gerak kerja. Kita bentuk generasi baru yang mampu membawa perubahan demi perubahan. Sungguh mengkagumkan.

Sifat ramah tamah orang Brunei juga amat saya kagumi. Hulur tangan, beri salam, senyum ceria ,tanya khabar, ucapan terima kasih dan lain-lain itu jadi perkara sangat biasa. Sangat ramah berbanding orang biasa di Malaysia. Sedangkan bagi saya mereka ini seperti orang jemaah atau sahabat baik yang sangat rapat. Kagum…kagum.. Kagum.. Bumi yang barakah anugerah dari Allah. Sebuah perkongisan.

[+/-] Baca Lagi...


Di kala musim cuti yang kian hampir, di kala ini jualah ramai sahabat-sahabat saya sendiri berpakat-pakat untuk berkahwin. Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran ke atas mereka yang akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Saya sendiri terpanggil untuk memberikan sedikit komentar tentang hal ini. Dengan tajuk yang saya sendiri rasa amat menarik, 1 kupasan tentang “perkahwinan itu amanah yang terindah”.

Biasa kita tahu, amanah itu tersangat berat. Ia satu tanggungjawab, pikulan, bebanan dan penuh dengan kepayahan. Tetapi perkahwinan itu lain dari yang lain. Hebat benar penangan perkahwinan. Ia amanah, tetapi begitu indah. Tidak membebankan, tidak pula merumitkan. Ia tanggungjawab, tetapi penuh dengan pengajaran. Tidak sukar, tidak pula memenatkan. Itulah perkahwinan yang terjalin dengan suasana harmoni. Siapa tidak mahu bahagia? Siapa pula tidak mahu gembira? Kalau saya tujukan soalan ini kepada saudara saudari, sudah pasti jawapannya, SAYA MAHU... Semua orang inginkan kebahagian dan kegembiraan. Lebih-lebih lagi dalam suasana kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang, saling memahami, tolong menolong, puji memuji dan saling bertolerasi. Indah lagi jika suatu perkahwinan itu disulami keimanan dan ketaqwaan. Makna surah yang boleh dikongsikan.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Ar-Rum: 21)

Jika kita amati semula hadith-hadith, Rasulullah saw menggalakkan perkahwinan dan menunjukkan kelebihan serta keistimewaan berkahwin. Rasulullah saw menyebutkan perkahwinan sebagai satu sunnahnya yang baginda sukai, dan barangsiapa yang tidak mahu berkahwin, maka dia bukanlah daripada golongan Rasulullah (umat Islam). Bahkan, Rasulullah pernah menegur seorang sahabat yang hanya mahu menghabiskan seluruh siang dan malamnya untuk hanya beribadah dan tidak mahu berkahwin. 1 hadith juga yang boleh dikongsi.

“Apabila seseorang hamba telah berkeluarga, bererti dia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya. Maka takutlah kepada Allah terhadap separuh yang lain.”(Hadith riwayat At-Tabrani)

Suka duka perkahwinan itu salah satu lumrah pengisian hidup. Gembira bersama, sedih pun mesti bersama. Apa yang dibuat isteri, dibuat juga oleh suami. Apa yang dibuat suami, itu jugalah yang dilakukan isteri. Berjalan beriringan berpimpin tangan. Bercerita dan berkongsi pengalaman. Bergurau senda dan bergelak tawa. Ingat sambil mengingati. Hormat saling menyayangi. Duduk sama rendah, berdiri pun sama tinggi. Sakit si suami, si isteri juga merasai, ibarat cubit peha kanan, peha kiri pun terasa. Angau si isteri mengenang si suami, rindu si suami mengenang si isteri. Aduhailah jiwa, indahnya perkahwinan bila dihambat cinta Allah.

“Kahwinkanlah orang-orang yang masih sendirian di antara kamu, sesungguhnya Allah akan memperbaiki akhlak mereka, meluaskan rezeki mereka dan menambahkan keluhuran mereka.”(Maksud Hadith)


Perkongsian di alam perkahwinan membawa bahagia. Rasulullah pernah berkongsi dengan A’isyah sebuah cawan untuk minum. Di mana letaknya bibir A’isyah, di situ jugalah bibir Rasulullah menghirup air. Begitu juga kisahnya bagaimana Rasulullah membantu A’isyah di dapur, membuat kerja-kerja rumah dan sebagainya. Sikap tidak membebankan seperti Rasulullah menjadi contoh kepada setiap pasangan. Rasulullah pernah menjahit jubahnya sendiri tanpa meminta pertolongan isterinya. Tidak meminta, apatah lagi mendesak. Diceritakan juga, Rasulullah pernah pulang ke rumah dalam keadaan lapar, tetapi mendapati makanan belum siap dimasak. Lantas baginda menyinsingkan lengan jubahnya menolong isterinya menyiapkan makanan. HEBAT.. Lelaki itukan dianugerahkan dengan tenaga yang lebih. Apa salahnya disumbangkan buat si isteri sebagai perencah istimewa, supaya bertambah-tambah pula seri hubungan dua merpati sejoli.

Mencium isteri, memangkunya, memeluknya, meletakkan kepala di atas ribanya menjadi tabiat yang sepatutnya. Isteri itu adalah anugerah teristimewa. Bukan sekadar isteri, bahkan dialah permata hati laksana ibu penyayang, teman karib, pembantu setia, rakan sekerja, penyokong kuat dan juga penasihat kepada sang pelupa (suami). Begitu juga sang suami, peranan dan tugasnya adalah sama, bahkan lebih lagi sebagai ketua laksana orang kuat, pemimpin berwibawa dan idola bagi sang pedamba (isteri).

Sang suami dan isteri itu sentiasa ke mana sahaja bersama, tidak ubah ibarat belangkas. Dilepaskan sayang, ditinggalkan rindu, apatah lagi dijauhkan. Perkahwinan ini menjanjikan kesempurnaan. Saling melengkapi, saling mencukupi dan saling memperbaiki. Saya cukup berbangga jika institusi kekeluargaan itu dilandaskan dengan iman dengan taqwa. Saling percaya merpercayai, saling membuat kebaikan dan saling bertolak ansur. Malah mempraktikkan setiap perkara bersama dengan bersolat jemaah, berdoa, bertaddarus al-Quran, berdiskusi, bertazkirah dan sebagainya.

Di bawah ini, disertakan doa pengasih. Buat amalan bagi yang hendak dan akan berkahwin, begitu juga yang sudah berkahwin.

اللهم حبّب عبدك هذا الى عبادك المؤمنين وحبّب الى المؤمنين

"Ya Allah,jadikanlah hambaMU ini dicintai pada hati orang yang beriman,dan jadikanlah mereka menyintai orang yang beriman"

Semoga perkahwinan itu membuahkan bait-bait rasa keindahan yang berterusan dan terkesan hingga ke dasar QALBU.

“Ku Mencintaimu Kerana Agama Yang Ada Padamu..Jika Kau Hilangkan Agama Dalam Dirimu Maka Hilanglah Cintaku Padamu..."

[+/-] Baca Lagi...


Buat julung-julung pertama kalinya, FAQIH SYNERGIES mengadakan satu kem ibadah buat anak – anak bangsa bagi sekolah rendah dan menengah. Dan menjadi tarikan menariknya adalah program ini menempa nama dalam surat khabar kosmo. Bukan mahu berbangga, tapi sekadar mahu memberitahu..(“,). Penulis sebagai urusetia program merasa begitu berbangga. Bukan berbangga masuk surat khabar, tetapi bangga dapat terjun membantu masyarakat untuk membimbing anak-anak mereka ke arah yang lebih baik dan berkualiti.

Program ini yang mendapat kerjasama masjid Negara dan diadakan di sana mendapat sambutan yang menggalakkan dengan peserta seramai lebih 150 orang bagi sekolah rendah, manakala lebih 160 orang bagi sekolah menengah. Sepatutnya 100 orang, tapi memandangkan permintaan dan rayuan telah dibuat. Takut ibu bapa ada yang berkecil hati, maka ia tetap diterima. Disebabkan program yang dianjurkan ini mendapat sambutan menggalakkan, lagi2 kerana ia adalah kali pertama dilaksanakan, maka berlaku sedikit kekalutan. Walaubagaimanapun ia dapat diperbaiki pada program sekolah menengah. Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 28 - 30 November 2008 bagi sekolah rendah. Manakala sekolah menengah pada 3 - 5 November 2008.

Syarikat FAQIH SYNERGIES ini yang dianggotai oleh bekas pelajar2 Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia. Salah seorangnya adalah penulis sendiri. Penulis melahirkan rasa syukur teramat sangat kerana perjalanan program ini dapat berjalan lancar walaupun keletihan dan ada sedikit kesilapan. Kesilapan itu menjadi pengajaran untuk penambahbaikan pengurusan program pada masa akan datang. Satu minggu ini menjadikan ia dipenuhi dengan sebuah program yang benar2 membuatkan anggota FAQIH SYNERGIES bersyukur walaupun penat dan letih itu beriringan. Berbakti demi masyarakat adalah suatu pengorbanan. Nikmat dari pengorbanan ini adalah kepuashatian kami berbakti untuk masyarakat…


Kita sebagai orang muda, sebagai penggerak utama dalam mertarbiyah masyarakat yang mempunyai pegangan yang begitu rapuh. Jika mereka ini tidak dibimbing sebaiknya, ke manalah hala tuju mereka seterusnya apabila besar nanti. Kita selaku pendakwah, dan kita juga selaku pembimbing. Walaupun penulis tidak menjadi fasilitator dalam program KEM IBADAH ini, setidak-tidaknya penulis dapat bermesra dengan adik2 secara rawak. Malah dapat juga menanya hal mereka dari ibu bapa mereka. Harapan ibu bapa agar anak mereka begitu kuat dengan pegangan agama, yakin dengan Allah, tidak tinggal solat, menghormati ibu bapa dan paling penting supaya mereka akan mempunyai kesedaran yang kuat kenapa mereka dihidupkan di dunia ini. Ibu bapa begitu mengharap anak mereka menjadi soleh dan solehah. Anak2 adalah permata hati yang tidak boleh dicari ganti. Senakal mana mereka pun, merekalah harapan untuk masa hadapan. Didikan yang sebaiknyalah menjadi tunjuk ajar bagi anak2 agar mereka menjadi penyejuk hati ibu bapa.


Mengajar anak2 kecil bukanlah satu tugas yang mudah, mereka adalah golongan yang cepat memberontak apabila permintaan mereka tidak dipenuhi. Tugas kami mendidik adalah tugasan berat dan mencabar. Latar belakang yang berbeza, perangai yang berbeza, pemikiran yang berbeza benar2 mengajar erti kesabaran sebenar. Tetapi Alhamdulillah, sepanjang program tiada yang buat hal diluar jangkaan. Kalau ada yang terpekik terlolong dalam program..ish2.. kami pun boleh jadi buntu. Kadang2 wajah2 seronok mereka menjadi pengubat hati ini. Hilang kepenatan kerana keriangan dan kerjasama mereka, hilang tekanan kerana respon baik mereka. Mudah2an program ini mencapai matlamat, dan seterusnya mendapat sambutan yang menggalakkan pada masa akan datang..insyaAllah…












[+/-] Baca Lagi...



Kembara di perjalanan yang terbentang luas, perjalanan yang masih jauh kehadapan. Meniti saat2 dan detik2 hidup yang tersisa. Meninggalkan kenangan2 lama. Yang manis mahupun yang pahit jua. Lumrah kehidupan yang harus dilalui bagi setiap umat manusia. Liku2 kehidupan yang panjang mengajar erti kesabaran buat mereka, yang merindui kemenangan di akhirat. Puncak kejayaan di alam syurga. Menatapi wajah2 gembira, yang mengharap redha-Nya di sana.


Bahtera belayar menuju ke daratan besar seakan manusia yang hidup menuju akhirat. Pelbagai rintangan yang perlu dilalui untuk sampai ke destinasi. Bahtera perlukan kemudinya, manusia pula perlukan iman dan ilmunya. Persinggahan bahtera adalah pulau, persinggahan manusia adalah kehidupan. Rintangan bahtera adalah ombak dan hidupan laut yang ganas, cubaan manusia adalah syaitan dan nafsu. Ya Allah, selamatkan daku di perjalanan ini.

Saat2 kehidupan sememangnya payah dalam mengharungi alam yang penuh pancararoba. Berbekalkan sedikit iman di dada, inilah yang dipertaruhkan untuk menghadapi dunia. Saat2 sukar sudah pasti menjadi onak duri dalam diri yang sentiasa bermujahadah. Mencari redha-Nya, mendapat perhatian-Nya, menagih simpati-Nya, berjuang di jalan-Nya dan segala2nya adalah demi-Nya. Janji yang telah diputuskan bahawa kita adalah hamba-Nya dan Dia adalah yang selayaknya disembah. Tapi apakan daya, dek nafsu dan syaitan yang menggoda, pasti ada yang tersungkur di perjalanan. Iman yang kecil ini tak mampu untuk berdiri dengan sendirinya, tak mampu berjalan untuk melangkah, apatah lagi berlari sepantas kilat. Tapi iman kecil inilah cuba dididik untuk membesar, berdiri, berjalan, berlari dan terus terbang ke destinasi. Teguhlah wahai iman, apa yang bermula ini harus diteruskan. Tiada lagi erti berpatah balik, noktahnya hanyalah kematian.

Perjalanan ini begitu letih, sukar dan payah. Tak terdaya rasanya mengharungi badai, apatah lagi ombak yang mampu sahaja menenggelamkan. Aduhai jiwa, takut rasanya tenggelam dalam arus dan gelombang dasyat ini. Itulah mujahadah, sudah jatuh, bangkit. Sudah bangkit, berdiri. Sudah ber
diri, berlari mencipta erti hidup yang penuh makna. Terkadang diri yang lemah menjadi penyebab diri ini tersungkur, putus asa, hilang harapan. Jatuh bangun adalah mehnah dalam kehidupan. Mengajar erti untuk hidup lebih sempurna. Disusuli dengan keyakinan, kemenangan pasti menjadi milik sang pedamba.

Lamanya perjalanan, dari usia yang masih bayi, kini meningkat dewasa. Tapi apa yang telah diusahakan? Rasanya diri ini masih begitu mentah, seperti baru sahaja dilahirkan. Masih lagi terkapai2, masih lagi dibuai mimpi2 indah yang palsu, masih lagi tercari2 hidup yang sebenar. Tak terungkai lagi kerumitan2 hidup di dunia. Tak terlerai lagi simpulan2 yang menjadi tanda tanya. Alangkah lemahnya diri ini. Masih tak layak lagi menandingi sahabat2 Rasulullah yang jauh lebih muda usianya, tapi mampu sahaja menggoncang dunia. Diri ini masih lagi terlalu kerdil berbanding mereka di luar sana. Bagai langit dan bumi yang terlalu jauh jaraknya. Kejahilan masih lagi terlekat, sukar benar untuk dikikis. Wahai diri, perkuatkanlah dirimu..

Ya Allah, masih terlalu banyak yang belum kugapai. Tak tercapai rasanya untuk menggapai. Menyentuh dan merasa apa yang dicapai oleh pejuang2mu. Kerdilnya diri ini di sisimu yang masih belum dewasa dalam erti kehidupan. Belum matang lagi dalam banyak perkara. Begitu ceteknya pemikiran, mahupun kekuatan. Permudahkanlah jalanku, menghadapi onak liku, ranjau berduri yang sentiasa menghalangi. Perjalanan ini akan kuharungi sepenuh daya, mencipta corak2 bermakna. Mencipta dunia penuh keindahan, dengan Islam menjadi tunjang. Moga2 ia berpanjangan, selagi hayat dikandung badan…


[+/-] Baca Lagi...

10:24 PM

Insan yang dicari..


Insan yang di cari?...persoalan yang menjadi tanda tanya kepada penulis.. siapa pula insan yang di cari tu? Dialah insan yang jadi permaisuri hati untuk dunia, bahkan bawa ke akhirat.. Meniti saat usia yang semakin matang, dan cuba untuk mematangkan diri sebaik mungkin. Tak pernah sekalipun penulis terfikir sebelum ini bahawa akan mengalami dunia bersama seorang yang akan menjadi peneman, penyokong, pendorong dan penguat semangat bagi jiwa seorang lelaki.

Dialah wanita solehah dan insan yang berharga. Bak permata berkelipan.. tapi bila dan siapa itulah yang menjadi persoalan yang berlegar2 di minda.. Dalam proses mentarbiyah diri untuk menjadi lebih matang, penulis sentiasa cuba memperbaiki diri laksana seorang suami, bapa dan juga datuk. Mereka inilah golongan yang sentiasa terkehadapan dalam pemikiran. Tanggungjawablah mematangkan mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini, ia menjadi persediaan penulis untuk berumahtangga.

Kaedah per’couple’an, satu kaedah yang biasa digunakan oleh remaja2 yang tak matang untuk mendapatkan pasangan masing2.. apa sangatlah dunia per’couple’an yang tak membawa satu keuntungan sikitpun. tu pun boleh menjadi kaedah nombor 1 malaysia untuk mendapatkan pasangan. Allah dah jadikan setiap sesuatu laranganNya itu ada penggantinya.. arak itu haram, tapi Allah halalkan bermacam-macam minuman yang lebih sedap dan enak. Allah dah haramkan perzinaan, tapi Allah ganti dengan perkahwinan.. melalui perkahwinan, disusuri pula dengan tanggungjawab supaya manusia tu kekal bahagia selamanya. Tapi ramai antara kita pilih jalan yang Allah tak redhai, maka jatuhlah mereka dalam kesesatan yang nyata.. apakah dalam perkahwinan tu takde unsur per’couple’an? Malah lebih dari itu pun dihalalkan.. cuma diamanahkan pula dengan tanggungjawab yang besar supaya bahtera yang dibina akan sentiasa kukuh dan terus utuh. Bandingkan pula dengan per’couple’an yang tiadanya ikatan perkahwinan, pastinya tiada tanggungjawab dan amanah yang wajib dipikul.. maka terpinga2 dan terkulat2lah si dia jika salah seorang itu ditinggalkan..amatlah malang si malang itu..

Carilah insan yang hendak dicari dengan cara yang diredhai. Banyak lagi jalan yang boleh dilalui untuk cari pasangan ni. Istikharah antara jalannya. sesungguhnya Allah ciptakan manusia itu berpasangan dan telah ditakdirkan jodohnya. Jodoh ni hak Allah, sama seperti ajal. Ada jodoh berjumpalah hendaknya.. mudah-mudahan mahligai yang bakal dibina, kekal abadi.

Sejauh mana pula kita mampu untuk membina mahligai tu? 1 persoalan lagi yang terngiang2 di telinga penulis apabila memikirkannya.. 1 step nak bina mahligai selain persiapan rohani, persiapan material pun kena ada..duit? itulah dia persoalannya..untuk rumah, kenderaan, pakaian dan macam2 lagi. Bagi seorang lelaki, memang sepatutnya dia memikirkannya memandangkan dialah ketua keluarga dan pemimpin kepada buah hatinya. Barulah jadi suami yang sejati..tak gitu? Agak merunsingkan bagi penulis memikirkan ada golongan sahabat-sahabat sendiri dapat berumahtangga awal. Mungkin keluarga kaya? Paling tidak, mereka tu sendiri kaya? Tapi paling tepat semestinya ada kerjasama dan kesefahaman yang utuh antara mereka supaya mampu membina mahligai itu. Kalau si suami atau si isteri tak tertahan dengan dugaan dan kesukaran, sudah pasti berpisah ditengah jalan. Moga-moga golongan berkahwin awal ni sentiasa berada dalam keadaan menggembirakan.

Akhir kalam..Key pointnya di sini adalah, kepada yang masih mencari..banyakkanlah berdoa untuk dipertemukan dengan si dia. =)..Lagi-lagi kita yang berada dalam bulan Ramadhan ni.. insyaAllah, Dia akan menunjukkan jalan..Wallahua’lam

[+/-] Baca Lagi...