Membayang dan memikirkan ciptaan-Nya..
Merenung dan muhasabah diri sendiri kerana dosa2 terhadap-Nya..
Image Hosted by ImageShack.us


Saya simpulkan 5 perkara atau matlamat untuk berkahwin. Bukan atas dasar suka-suka hendak berkahwin, tetapi bersebab dan bermatlamat. Jika kita ada matlamat dan cita-cita dalam perkahwinan, insyaAllah jalan yang akan kita telusuri berada dalam keadaan tenang dan berfokus.

Membawa Islam

Membawa Islam bukan sahaja di luar, tetapi untuk diri sendiri juga. Kita sibuk berdakwah di luar, sampaikan terlupa anak-anak, isteri, ibu bapa, adik beradik yang perlu juga ditarbiyah. Keluarga itu permata hati yang perlu dibawa sekali hingga ke syurga. Mungkin dalam tanggapan kita, kita sibuk melayan kerenah orang di luar, tetapi orang yang paling dekat dengan kita sendiri terabai. Abang hal abang, kakak dengan halnya, adik pun begitu, termasuklah kita. Kita rasakan masyarakat itu utama, sampai terlepas pandang isi dalam yang perlu di‘lunas’kan dahulu. Rasulullah sendiri memulakan dakwah Islam melalui keluarga, dari isterinya turun ke anak sendiri, tersebar pula kepada sepupu, bapa saudara dan seterusnya barulah mula turun ke masyarkat. Dari sembunyi-sembunyi, berterusan pula secara terang-terangan. Saya mahu bawa satu analogi bahawa pokok yang kuat asalnya dari benih yang baik, terus membentuk akar untuk menapak, kemudian tumbuh tunas yang memucuk. Kemudian gah sebagai sebatang pokok yang kian membesar laksana pokok balak yang sangat-sangat besar. Begitu juga dalam kehidupan kita dalam membawa Islam. Mula dulu dari keluarga, sanak saudara, rakan taulan, seterusnya masyarakat yang lebih besar. Jangan dek mengejar perkara yang besar, kita tertinggal orang yang tersayang. Bak pepatah mengejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Cek balik solat jemaah, taddarus al-Quran, tazkirah mingguan, makan berjemaah, aktiviti petang, gotong royong, puji memuji, gurau senda dan sebagainya. Adakah sudah wujud kasih sayang dan amalan Isalami sepenuhnya dalam diri kita? Jika belum, jom kita laksanakan. Apa hendak tunggu lagi? Jika ia sudah benar-benar kuat, kita susuli pula untuk peringkat seterusnya iaitu masyarakat.

Berkasih sayang

“Kasih sayang itu titi, kasih sayang penghubung hati
kasih sayang itu tali, kasih sayang pengikat diri
dari kasih timbul simpati, dari sayang timbul persaudaraan....”

Sedikit lirik nasyid KASIH SAYANG dari Raihan. Bekahwin itu pastinya kita hendakkan kasih sayang. Cinta mencintai, rindu merindui, sayang menyayangi dan sewaktu dengannya. Itulah matlamat kahwin, orang tidak mahu apabila berkahwin timbul prasangka buruk, bergaduh, maki memaki, malu memalukan atau sebagainya. Kita hendak jalinkan hubungan dengan saling percaya mempercayai bersama pasangan. Tiada isu sangka buruk, tiada isu cemburu buta dan tiada isu tuduh menuduh. Kasih sayang itu perlu disulami dengan perkara baik-baik sahaja. Perkara buruk-buruk itu buang jauh-jauh. Jangan ada dalam fikiran, jangan biarkan terngiyang-ngiyang di kepala, jika tidak ia bakal merosakkan institusi keluarga. Naungilah bahtera perkahwinan itu dengan saling gurau senda, bersuka duka, cuit mencuit, puji memuji, bantu membantu, bertoleransi dan sebagainya. Sebagai contoh paling mudah, si isteri memanggil si suami dengan panggilan “abang”. Si suami pula memanggil isteri dengan panggilan “sayang”. InsyaAllah akan wujud dalam hati itu sikap sayang menyayangi. Pangilan abang menunjukkan “hormat”, panggilan sayang menunjukkan “cinta”. Panggilan-panggilan inilah doa yang sentiasa mengiringi dan menaungi pasangan. Allah juga turut yang memberkati, subhanallah.

Bergerak dalam perniagaan

Pasangan boleh diibaratkan rakan sekerja terbaik. Di luar bersama, apatah lagi di dalam. Ishh, kalau buat perniagaan bersama, insyaAllah cemerlang dan berjaya. Lihat sahaja Rasulullah dan Saidatina Khadijah, betapa gabungan yang mantap ini mampu melebarkan sayap perniagaan. Baik, dilihat pada hubungan perkahwinan, bersama dengan pasangan itu sudah pastinya dalam tempoh yang lama. Jadi, bila di luar rumah mungkin ada pejabat sendiri yang diuruskan bersama. Kemudian, setelah pulang pun boleh berbincang hal-hal perniagaan bersama. Idea-idea dicurahkan juga semasa berbual, bersembang dan sebagainya. Inilah ruang yang sangat bermanfaat digunakan oleh setiap pasangan. Setiap ruang dan peluang itu digunakan sebaik mungkin, tiada langsung masa kosong yang terbuang. Si suami pengarah, si isteri pula penolong pengarah. Hmmm, sangat ideal dan hebat. Pasangan itu fokusnya bukan setakat pasangan di rumah sahaja, tetapi di luar juga. Pasangan itu ibarat kawan rapat, rakan sekerja, adik beradik, saudara rapat, pesaing terhebat dan sewaktu dengannya. Suami dan isteri itu adalah segala-galanya bagi setiap pasangan. Kalau ada pepatah mengatakan kawan yang baik itu adalah segala-galanya, tetapi bagi saya tidak. Pasangan yang baik itulah segala-galanya bagi kita. Yakinlah kita pada pasangan yang kita sendiri pilih dan sayangi.

Melahirkan zuriat

Sudah berkahwin, sudah mesti seterusnya mahukan anak. Mahu dengar gelak tawa anak-anak, gurau manja anak-anak. Mahu juga lihat wajah-wajah ceria dan comel anak-anak. Ini semua adalah keinginan yang lahir dari fitrah semula jadi hasil dari kasih sayang. Anak-anak itu permata hati ibu bapa atau suami isteri. Merekalah penyambung zuriat kita, penyambung nasab dan keturunan. Mereka juga pengganti kita, pewaris yang menerajui apa yang telah kita terajui sebelum ini. Penyambung semangat, cita-cita dan harapan yang belum lagi ditunaikan lagi semasa hayat kita. Mereka ibarat dahan pokok yang tumbuh secara bersambung dan bercabang-cabang lalu jadilah pokok yang sangat rendang iaitu satu keluarga yang besar dan berantai. Boleh juga saya katakan akan wujud satu kelompak masyarakat yang besar dan mampu bawa Islam secara kamil bermula dari hasil perkahwinan. Binaan ini mengukuhkan lagi empayar untuk membawa Islam ke seluruh pelusuk asalkan hubungan kekeluargaan itu didasari Islam sebagai tunjangnya. Inilah perajurit-perajurit Islam yang bakal dilahirkan. Komuniti keluarga yang sangat diidam-idamkan oleh saya juga.

Melindungi diri dari maksiat

Saya meletakkan perkara ini sebagai isu paling terakhir dalam perkahwinan. Kita kadang-kadang memang sukar untuk mengelak dari dosa maksiat dek nafsu syahwat. Maka jalan penyelesaiannya adalah perkahwinan. Tetapi jangan sesekali jadikan alasan ini adalah alasan paling utama untuk berkahwin. Banyak lagi isu yang perlu diketengahkan, kita mahu lahirkan anak-anak yang berkualiti. Kalau masih ada dalam diri perasaan perkahwinan itu didirikan atas dasar melepaskan nafsu semata-mata, kita tidak akan ke mana. Anak yang bakal dilahirkan tidak akan menjadi seperti apa yang kita idam-idamkan. Kita mahukan anak yang soleh, taat, patuh pada orang tua, menjaga maruah diri dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu jadi idola mereka. Bukan mula sejak dari mereka lahir, tetapi sejak kita berkahwin lagi kita perlu jadi orang yang soleh dan solehah. Perbaiki diri dan persiapkan diri juga semaksimanya dalam hubungan perkahwinan. Tanamkan jiwa kasih sayang antara pasangan, pasti lodak nafsu itu berada di bawah naungan-Nya. Allah akan tenteramkan jiwa, tenangkan hati dan bersihkan minda. Jalannya adalah dengan mengingati Allah.

Think 4_l_ll forever you are

0 comments: